Kurangkan senator, lantik MP layak dalam kabinet tolak 'Kerajaan Perpaduan'
14:08 Aug 21, 2021  |  By SabahKini2
Kurangkan senator, lantik MP layak dalam kabinet tolak 'Kerajaan Perpaduan'

Keutamaan tangani Covid-19. Untuk stabil perlu jaga hati 114 MP. Lantik senator untuk jawatan perlu. Kerajaan Perpaduan tidak sesuai kerana lahirkan 'mandeliar' dan 'si kitol' dari dalam

Pembentukan Kabinet di bawah pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu menghentikan amalan melantik Senator untuk memegang jawatan Menteri atau Timbalan Menteri, kecuali bagi kementerian bersifat kritikal.

Penganalisis politik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, berkata amalan itu disifatkan tidak membawa manfaat kerana ramai lagi Ahli Parlimen yang layak untuk memegang portfolio tertentu dalam Kabinet.

Beliau berkata, Perdana Menteri baharu perlu mengambil kira kepentingan 114 Ahli Parlimen yang menyokong dirinya, bagi mengelak rasa tidak puas hati dalam kalangan mereka jika perlantikan Senator diteruskan untuk memegang jawatan dalam Kabinet.

"Sudah tentu Ahli Parlimen PN yang menyokong Ismail Sabri menantikan-nantikan jawatan untuk mereka. Senator yang ada akan menghalang mereka. Ahli Parlimen akan mempersoalkan apakah mereka tidak layak untuk mengisi jawatan itu.

"Contohnya seperti menteri berkaitan agama, tidak perlukan Senator untuk menjadi menteri, kerana ramai lagi Ahli Parlimen berlatar belakangkan agama (boleh dilantik) contohnya dari PAS.

"Bagi jawatan Menteri Kewangan, saya fikir ramai pakar kewangan dalam kalangan Ahli Parlimen, termasuk Tengku Razaleigh Hamzah tetapi jika difikirkan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz terbaik, bolehlah Senator dilantik Menteri," katanya 

Dalam pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sebelum ini, seramai 32 Menteri dan 38 Timbalan Menteri dilantik dengan tiga daripadanya adalah Senator.

Mereka adalah Tengku Zafrul, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Ridhuan berkata, jika lantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri menimbulkan masalah kerana perebutan daripada pelbagai parti dalam PN, jawatan Menteri Kanan boleh dikekalkan yang dilantik dalam kalangan Ahli Parlimen dari UMNO, BERSATU, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) atau Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

"Kekananan kementerian ini mestilah berkait rapat dalam tatacara menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi serta kebajikan rakyat," katanya.

Beliau turut berpandangan negara sekecil Malaysia tidak memerlukan begitu banyak kementerian sambil merujuk China yang mempunyai penduduk 1.4 hanya mempunyai sekitar 20 hingga 25 orang menteri saja.

Katanya, pengecilan Kabinet dilihat sukar dilaksanakan Ismail Sabri kerana terdapat 113 Ahli Parlimen sedang menunggu untuk dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri.

"Yang penting, menteri dan timbalan menteri yang dilantik, mempunyai watak pendamai, berwibawa, amanah dan bersih latar belakangnya daripada segala skandal dan rasuah kerana ia penting dalam situasi krisis politik hari inil," katanya.

Selain itu katanya, Ismail Sabri perlu menolak kewujudan kerajaan perpaduan atau memberikan jawatan kepada pembangkang dalam Kabinet kerana tidak mustahil rahsia kerajaan akan dibocorkan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Beliau berkata, walaupun kerajaan perpaduan itu baik dan sudah dilaksanakan di negara lain namun ia belum sesuai dibuat di Malaysia kerana ramai dalam kalangan mereka bersifat 'mandeliar' dan 'si kitol'.

"Kalau ketika di luar kerajaan pun sudah huru-hara, bagaimana apabila berada di dalam. Sukar dipercayai. Tengok saja gelagat mereka di Parlimen ketika rakyat susah.

"Tidak mustahil pembangkang turut berperanan menjatuhkan kerajaan dari dalam, berdasarkan kepada bukti sebelum ini jika mereka dipelawa masuk dalam Kabinet," katanya.

 
1 Comment