Selamatkan Keluarga Malaysia kata PM-9 Ismail Sabri
08:08 Aug 23, 2021  |  By SabahKini2
Selamatkan  Keluarga Malaysia kata PM-9 Ismail Sabri

Marilah kita, dengan fikiran terbuka dan dada yang menerima, mencungkil persamaan dengan tidak lagi menggali perbezaan. Kita perlu bersepakat untuk menyelamatkan keluarga kita iaitu Keluarga Malaysia," katanya.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memperkenalkan penggunaan frasa Keluarga Malaysia bagi mengajak seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan fahaman politik bersama berganding bahu membawa keluar negara ini daripada pandemik COVID-19.

Perdana Menteri berkata, konsep Keluarga Malaysia diambil kerana baginya, keutuhan negara terikat dengan nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga.

"Saya menggunakan pendekatan Keluarga Malaysia kerana frasa ini sifatnya lebih inklusif. Ia merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum.

"Kita menyedari kewujudan sesebuah keluarga yang berkahwin dengan pelbagai bangsa dan agama, tetapi nilai kekeluargaan sudah mengikat mereka semua," katanya ketika menyampaikan ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri 

"Marilah kita, dengan fikiran terbuka dan dada yang menerima, mencungkil persamaan dengan tidak lagi menggali perbezaan. Kita perlu bersepakat untuk menyelamatkan keluarga kita iaitu Keluarga Malaysia," katanya.

Ismail Sabri mengakui, ketika pandemik masih belum reda, beliau menghayati kepayahan dan keperitan hidup rakyat pada masa negara sedang menghadapi krisis ekonomi yang berpunca daripada wabak COVID-19.

"Saya memahami keringat dan nilai sesuap nasi, kerana saya lahir dan membesar dalam keluarga anak petani yang susah. Saya menginsafi kepayahan, kesengsaraan dan keperitan hidup yang mencengkam kita semua.

"Ada yang hilang mata pencarian, ada pula yang putus bekalan makanan dan bukan sedikit yang dibuang kerja.

"Kita sebagai satu keluarga tanpa mengira agama, bangsa dan kaum. Setiap daripada anda adalah seperti keluarga saya sendiri, sama ada anak muda, mahupun yang berusia. Kita diibaratkan saling melengkapi, umpama anggota tubuh yang saling memerlukan," katanya.

1 Comment