Dalam tempoh 2-3 hari masalah ‘backlog’ di Sabah akan berkurang
15:08 Aug 23, 2021  |  By SabahKini2
Dalam tempoh 2-3 hari masalah ‘backlog’ di Sabah akan berkurang

Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah, Dr Rose Nani berkata masalah ‘backlog’ di Sabah akan berkurang dalam tempoh 2-3 hari kerana para petugas kesihatan giat bertugas selepas waktu pejabat untuk mengatasi masalah ‘backlog’ ini.

KUALA LUMPUR: Jumlah kes positif tinggi di Sabah yang disebabkan daftar lewat (backlog) dapat dikurangkan sekali gus diatasi dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi.

Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah, Dr Rose Nani Mudin berkata, para petugas kesihatan giat bertugas di luar waktu kerja bagi melakukan ujian di makmal kesihatan awam negeri itu.

Jelasnya, Jabatan Kesihatan Sabah turut mengambil tindakan penambahbaikan dengan menggunakan perkhidmatan makmal swasta bagi membantu melancarkan ujian saringan.

"Sejak saringan besar-besaran dilakukan kita telah menambah baik keupayaan mesin untuk membuat ujian di makmal kesihatan awam Sabah.

"JKNS juga telah mengambil tindakan mendapatkan khidmat makmal swasta untuk membantu kita. Di samping itu petugas di makmal juga bertugas selepas waktu pejabat untuk melancarkan backlog ini.

"Justeru kita jangkan masalah backlog ini akan dapat dikurangkan dalam tempoh dua ke tiga hari lagi," katanya.

Sejak seminggu lalu, Sabah merekodkan angka kes positif COVID-19 yang tinggi melebihi 2,000 kes sehari.

Jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan COVID-19, Datuk Seri Masidi Manjun dalam kenyataannya semalam memaklumkan, 2,651 kes positif dilaporkan di Sabah pada Ahad yang mana 1,639 daripada angka harian itu melibatkan daftar lewat.

Selain itu, daripada 2,651 kes positif pada Ahad, 2,541 melibatkan kategori satu dan dua; 12 kes (kategori tiga); enam (kategori empat) serta tujuh kes dalam kategori lima.

5 Comments