Tiga lelaki ditahan polis kerana kegiatan dadah
16:08 Aug 23, 2021  |  By SabahKini2
Tiga lelaki ditahan polis kerana kegiatan dadah

Ketua Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan, Superitendan Ahmad Jawila berkata, Ketiga-tiga suspek ditahan selepas pasukan polis menemui beg kecil mengandungi 7 paket plastic lutsinar yang berisi ketulan kristal jernih disyaki dadah.

LABUAN: Tiga lelaki tempatan ditahan  kira-kira jam 1.40 petang semalam di kawasan Kampung Lajau di sini selepas disyaki terlibat dengan kegiatan dadah. Ketua Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan Superintendan Ahmad Jawila berkata, ketiga-tiga suspek terbabit berumur dalam lingkungan 27 hingga 38 tahun.

Katanya, tangkapan dibuat selepas pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Labuan memeriksa sebuah kenderan yang dinaiki tiga lelaki terbabit.

"Hasil pemeriksaan, polis menemukan satu beg kecil di bawah tempat duduk penumpang hadapan yang diserahkan oleh salah seorang suspek.

"Di dalam beg berkenaan mengandungi tujuh paket plastik lutsinar berlainan saiz berisi ketulan kristal jernih disyaki dadah jenis syabu.

"Kesemua suspek kemudiannya ditahan dan barang kes dirampas untuk tindakan selanjutnya. Anggaran berat kasar barang yang disyaki dadah itu kira-kira 6.67 gram dan nilai pasaran semasa dianggarkan berjumlah RM600," katanya.

Beliau berkata, hasil ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah dan ditahan reman selama empat hari sehingga 26 Ogos 2021.

Ahmad berkata, kesemua suspek turut mempunyai rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Selain itu katanya, salah seorang suspek pernah dipenjara selama enam tahun atas kesalahan melakukan rompakan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan. 

Menurutnya, jika sabit kesalahan suspek boleh didenda sehingga RM5,000 dan penjara hingga dua tahun.

1 Comment