Penerima 1 dos vaksin di Sabah mencapai 52.4%
15:08 Aug 24, 2021  |  By SabahKini2
Penerima 1 dos vaksin di Sabah mencapai 52.4%

Penduduk dewasa di Sabah yang sudah menerima 1 dos vaksin mencapai 52.4% setakat ini. Menurut jurucakap perkembangan harian COVID-19, jumlah penduduk dewasa yang lengkap 2 dos vaksin di Sabah baru mencapai 30.1%.

KOTA KINABALU: Kira-kira 1.47 juta orang atau 52.4 peratus daripada penduduk dewasa di Sabah sudah menerima sekurang-kurangnya satu suntikan dos vaksin Covid-19 setakat ini.

Bagaimanapun, jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, jumlah penduduk dewasa yang lengkap dua dos vaksin di negeri itu baru mencapai 30.1 peratus.

Menurutnya, pada semalam sebanyak 16,563 suntikan dos pertama vaksin diberikan kepada penerima vaksin di seluruh Sabah melalui fasa dua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Bagi suntikan dos kedua, katanya, sebanyak 24,726 dos vaksin berjaya diberikan kepada penerima vaksin di seluruh negeri itu menjadikan jumlah keseluruhan suntikan vaksin sebanyak 41,289 dos pada semalam.

“Pendaftaran penerima vaksin pula ialah seramai 10,049 menjadikan jumlah kumulatif yang mendaftar di Sabah setakat ini sebanyak 1,523,955 bersamaan 55.3 peratus daripada populasi negeri ini,” katanya.

Sebelum ini, Masidi berkata, pihaknya mensasarkan 60 peratus penduduk dewasa Sabah menerima vaksin lengkap menjelang 21 September depan jika tiada masalah penghantaran vaksin.

Katanya, sasaran itu dibuat mengambil kira dengan kemampuan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) memberi suntikan sehingga 60,000 dos vaksin Covid-19 sehari.

Comment