2 tekong dan 13 PTI di Kampung Batu Payung, Tawau
17:08 Aug 24, 2021  |  By SabahKini2
2 tekong dan 13 PTI  di Kampung Batu Payung, Tawau

Tangkapan di buat oleh Pasukan Keselamatan Kg. Batu Payung sebelum diserahkan kepada anggota Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM). 2 warga tempatan ditahan disyaki tekong darat, menyambut kedatangan 13 PTI untuk dibawa ke destinasi seterus

TAWAU: Seramai 13 Pendatang Tanpa Izin (PTI) yang baharu tiba dari negara jiran berjaya ditahan di Pantai Batu 12, Jalan Kampung (Kg) Batu Payung, di sini semalam. Turut ditahan dua warga tempatan disyaki tekong darat yang bertindak menyambut kedatangan kesemua PTI terbabit untuk dibawa ke destinasi seterusnya.

Tangkapan dibuat kira-kira jam 9 malam oleh Pasukan Keselamatan Kg. Batu Payung sebelum diserahkan kepada anggota Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman dalam kenyataan medianya berkata pasukannya yang menjalankan tugas Op Cegah PTI (OCP) Daratan menerima maklumat berhubung tangkapan tersebut.

“Ketua Kawasan Rukun Tetangga (KRT) memaklumkan mengenai penahanan dua buah kenderaan yang disyaki dinaiki oleh 13 PTI yang baharu mendarat di pantai Batu Payung.

“Pasukan ESSCOM bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati dua buah kenderaan sarat dengan muatan disyaki PTI ditahan oleh penduduk kampung berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, warga asing yang berjaya ditahan di dalam kenderaan itu terdiri daripada tujuh lelaki, lima wanita dan seorang kanak-kanak berumur 2 hingga 49 tahun.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua PTI terbabit tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah masuk ke negara ini.

“Mereka juga mengaku baharu tiba dari Sungai Nyamuk, Indonesia dan masuk secara haram melalui jalan tikus menggunakan sebuah bot.

Manakala, kedua-dua tekong darat yang berumur 28 tahun itu pula turut mengaku mengambil kesemua PTI terbabit di lokasi berkenaan menggunakan kenderaan mereka,” katanya.

Menurut Ahmad Fuad, kesemua suspek yang berjaya ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan selanjutnya.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 55(e) Akta Imigresen 1959/63 dan Sekyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Fuad Fuad merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada KRT dan Jabatan Sukarelawan (RELA) di Kg. Batu Payung kerana menjayakan operasi mengekang PTI di daerah.

“Kami mengharapkan semua pihak dapat mencontohi pasukan keselamatan Kg. Batu Payung yang sentiasa menjadi mata dan telinga pasukan keselamatan di kawasan mereka.

“Saya menyeru semua masyarakat terutamanya komuniti pesisir pantai supaya memainkan peranan membantu pasukan keselamatan dengan memberi maklumat mengenai kemasukan PTI,”katanya.

Comment