Sabah telah menerima dua kumpulan vaksin CanSino sebanyak 94,000 dos
17:08 Aug 25, 2021  |  By SabahKini2
Sabah telah menerima dua kumpulan vaksin CanSino sebanyak 94,000 dos

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran) Datuk Masnah Matsalleh berkata, Penghantaran kumpulan pertama vaksin CanSino membabitkan jumlah sebanyak 50,800 dos yang tiba semalam, manakala kumpulan kedua sebanyak 43,200 dos tiba kira-kira jam 9 pagi

KOTA KINABALU: Sebanyak 94,000 bekalan vaksin dos tunggal CanSino selamat tiba di Sabah membabitkan dua kumpulan penghantaran. Penghantaran kumpulan pertama vaksin CanSino membabitkan jumlah sebanyak 50,800 dos yang tiba semalam, manakala kumpulan kedua sebanyak 43,200 dos tiba kira-kira jam 9 pagi tadi.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentabiran) Datuk Masnah Matsalleh berkata, vaksin CanSino akan diberi keutamaan kepada penduduk di kawasan pedalaman, luar bandar dan pulau di seluruh Sabah.

Pengarah Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) Negeri Sabah ini berkata, pengagihan vaksin berkenaan ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan setakat ini, vaksin yang diterima adalah mencukupi bagi keperluan sasaran.

Vaksin yang selamat tiba di Terminal 1 MasKargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu

Menurutnya, sebanyak 86,000 lagi dos vaksin CanSino akan tiba di Sabah pada 27 Ogos ini. 

"Selain kumpulan kedua vaksin CanSino, kita juga menerima 70,000 dos vaksin SinoVac hari ini dan beberapa jenis vaksin seperti Pfizer turut tiba di Sabah Isnin lepas sebanyak 252,720 dos.

"Kita difahamkan, Sabah juga akan menerima bekalan vaksin dari Sarawak dan Selangor pada Jumaat ini sekali gus membantu menampung sasaran pemberian vaksin di Sabah," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Dr. Rose Nani Mudin berkata, dengan penghantaran lebih banyak vaksin ke Sabah, ia membolehkan lebih ramai penduduk di negeri ini menerima vaksin COVID-19. 

"Setakat 23 Ogos lepas, seramai 1.46 juta penduduk dewasa di negeri ini menerima dos pertama vaksin dan 866,228 orang lagi menerima dua dos lengkap.

"Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan kerajaan negeri akan memastikan kadar vaksinasi di Sabah terus dipertingkatkan melalui program vaksinasi seperti jerayawara di kawasan pedalaman serta membenarkan 'walk-in' di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi memberi peluang kepada rakyat Sabah divaksin.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentabiran), Datuk Masnah Matsalleh (Tengah)

"Saya menyeru agar semua rakyat Sabah mengambil vaksin kerana ia terbukti dapat melindungi individu daripada dijangkiti. Sekiranya dijangkiti COVID-19 sekalipun, gejala yang diperoleh tidak seteruk berbanding individu yang tidak divaksin,” katanya.

1 Comment