Ronald mahu terus jaga kebajikan warga tani demi Keluarga Malaysia
22:08 Aug 27, 2021  |  By SabahKini2
Ronald mahu terus jaga kebajikan warga tani demi Keluarga Malaysia

Ronald dalam laman media sosial Facebooknya berkata, beliau menghargai kepercayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepadanya untuk terus mengendalikan portfolio kementerian terbabit.

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berjanji akan memastikan beliau melakukan yang terbaik dalam menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Beliau dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman media sosial Facebook berkata, beliau menghargai kepercayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepadanya untuk terus mengendalikan portfolio kementerian terbabit.

"Ini adalah satu tanggungjawab dan amanah yang sangat besar. Namun dengan sokongan dan kerjasama jabatan serta agensi di bawah MAFI, saya akan menggalas tanggungjawab ini.

"Saya juga akan melakukan yang terbaik untuk memastikan jaminan sekuriti makanan negara, kelangsungan rantaian bekalan makanan dan industri agromakanan serta memelihara kebajikan warga tani keseluruhannya demi 'Keluarga Malaysia'," katanya.

Ronald sebelum ini juga memegang jawatan sebagai menteri dalam portfolio yang sama.

Ismail Sabri dalam ucapannya pagi tadi mengumumkan barisan Jemaah Menteri dalam Kabinetnya yang turut menyaksikan beberapa muka baharu serta pemimpin yang dipilih semula.

Comment