KOTA KINABALU: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang juga bekas Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar KPJ Sabah pada pukul 6.23 pagi tadi akibat jangkitan Covid-19.

Perkara itu disahkan oleh isterinya, Datin Seri Normilah Siong dan anaknya Azman Lajim.

Katanya, beliau menerima panggilan daripada pihak hospital yang memaklumkan suaminya meninggal dunia pada 6.23 pagi tadi.

Jenazah akan dibawa pulang ke Kampung Kebatu, Beaufort untuk dikebumikan.

Pengerusi Eksekutif Amanah Ikthiar Malaysia (AIM) itu disahkan positif Covid-19 pada 12 Ogos lalu dan dimasukkan ke hospital swasta berkenaan sejak 13 Ogos lalu.

Apabila keadaan kesihatannya semakin merosot, beliau mula ditidurkan pada pukul 2 petang, 24 Ogos lalu.

Lajim, 66, turut menghidap penyakit kronik termasuk penyakit jantung, buah pinggang dan darah tinggi.

Beliau pernah memegang beberapa jawatan penting dalam Kabinet Persekutuan antaranya sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan pada 2008-2009 dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 2009-2012.

Beliau merupakan bekas Ahli Parlimen Beaufort pada 2009-2012 dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias pada 2013-2016.

Beliau pernah menjadi ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri Sabah pada 2013-2016 semasa beliau menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).