Salah fakta Malaysia Merdeka 1957, Netizen kecam Bank Rakyat
14:08 Aug 29, 2021  |  By SabahKini2
Salah fakta Malaysia Merdeka 1957, Netizen kecam Bank Rakyat

Kata Bank Rakyat negara dahulu dikenali sebagai Tanah Melayu dan Malayan Union semasa pemerintahan Inggeris.Negara kemudiannya dikenali sebagai Malaysia menandatangani perjanjian pada tahun 1957.

Kempen kemerdekaan Bank Rakyat melalui fakta merdeka di laman sosial facebooknya mendapat kecaman netizen.

Dalam paparan tersebut  menyatakan negara ini dahulu dikenali sebagai Tanah Melayu dan Malayan Union semasa pemerintahan Inggeris ini dikenali sebagai Malaysia selepas menandatangani perjanjian pada tahun 1957.

Bagaimanapun hantaran facebook itu telah dipadam selepas dikecam netizen sebagai fakta kemerdekaan yang salah.  

Dr Al Azharri Siddig Kamunri dalam satu hantaran membetulkan fakta Bank Rakyat itu.

“sila betulkan fakta anda. Malayan Union dicadang (1945/46) tapi tidak pernah dilaksana. Persekutuan Tanah Melayu ditubuh 1948. Tanah Melayu merdeka 31.8.1957. North Borneo (Sabah) merdeka 31.8.1963, Sarawak merdeka 22.7.1963. Malaysia dikuatkuasakan pada 16.9.1963" kata dalam satu hantaran di Twitter.

Netizen di media sosial juga mempertikaikan paparan “Fakta Merdeka” tersebut dan meminta Bank Rakyat membuat permohonan maaf walaupun sudah memadam paparan tersebut.

Sementara itu Chonnel George berkata, hantaran Facebook yang dimuatnaik oleh Bank Rakyat berkenaan sejarah Malaysia agak patriotik jika dilihat dari satu sisi, tetapi dangkal dari sudut faktanya.

“Frasa yang disebut cuma tertumpu kepada Persekutuan Tanah Melayu sahaja dalam Pembentukan Malaysia, seolah-olah menafikan penyertaan entiti Sabah dan Sarawak yang menjadi rakan setara dalam pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

“Tarikh ini adalah tarikh keramat yang patut dijulang kerana di sinilah titik bermulanya penjenamaan Malaysia yang menggabungkan tiga entiti iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Netizen berharap walaupun paparan di Facebook Bank Rakyat itu sudah dipadamkan namun mereka perlu meminta maaf atas kesilapan itu dan membuat pembetulan.

 

 

1 Comment