Sabah merekodkan 2,430 kes baharu
18:09 Sep 01, 2021  |  By SabahKini2
Sabah merekodkan 2,430 kes baharu

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, kes baharu positif COVID-19 di Sabah masih jumlah yang tinggi. Beberapa daerah merekodkan jumlah kes yang lebih tinggi berbanding semalam. Setakat ini 60% penduduk dewasa di Sabah sudah

KOTA KINABALU: Kes baharu positif COVID-19 di Sabah masih merekodkan jumlah yang tinggi dengan 2,430 kes dilaporkan hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, beberapa daerah merekodkan jumlah kes yang lebih tinggi berbanding semalam.

Menurutnya,  ia termasuk Kota Kinabalu 622 kes penambahan 55 kes dan Kinabatangan 165 kes penambahan sebanyak 139 kes membabitkan kluster baharu.

Katanya, daerah lain yang mencatatkan peningkatan mendadak kes antaranya Kudat 66 kes, Pitas 52 kes, dan Kota Belud 91 kes.

Beliau berkata, penurunan kes yang banyak direkodkan di daerah Keningau, Kota Marudu, Putatan, Papar, dan Penampang.

"Sebanyak 1,030 kes daripada jumlah keseluruhan kes baharu adalah kes yang lewat daftar antara dua hingga tiga hari, 221 kes antara empat hingga lima hari dan 274 kes adalah keputusan sampel ujian yang didaftar lewat melebihi lima hari.

"Saringan kontak rapat menyumbang 56 peratus (1,362 kes) daripada keseluruhan kes, saringan bergejala 30.2 peratus (734 kes) dan 6.4 peratus (156 kes) diperoleh melalui saringan bergejala," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Masidi berkata, seramai 1,732 pesakit yang dikesan semalam adalah dalam kategori dua, 652 dalam kategori satu, 24 orang dalam kategori tiga, lima orang dalam kategori empat dan 13 orang dalam kategori lima, manakala empat kes lagi masih dalam siasatan.

Menurutnya, satu kluster baharu direkodkan semalam iaitu Kluster Kinabatangan 2 Kinabatangan  yang merekodkan sebanyak 124 kes.

"Pada 31 Ogos, semua negeri di Malaysia termasuk Sabah berjaya mencapai sasaran nilai ambang 40 peratus vaksinasi lengkap bagi penduduk dewasa di bawah Pelan Pemulihan Nasional (PPN).

"Sabah juga kini menghampiri 60 peratus penduduk dewasa yang mengambil satu dos vaksin," jelasnya.

4 Comments