Sabah terima 180,000 dos CanSino secara berperingkat
17:09 Sep 03, 2021  |  By SabahKini2
Sabah terima 180,000 dos CanSino secara berperingkat

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, bermula 28 Ogos lalu hingga ke Isnin ini Sabah menerima 180,000 dos CanSino secara berperingkat. Sebanyak 44,000 dos vaksin CanSino telah diterima Sabah hingga hari ini.

KUALA LUMPUR: Sebanyak 180,000 dos vaksin CanSino dihantar ke Sabah secara berperingkat, bermula 28 Ogos lalu hingga Isnin ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata 2,000 dos vaksin berkenaan diagihkan ke Pulau Mabul selama dua hari, bermula hari ini.

"Hingga hari ini, sebanyak 44,000 dos vaksin CanSino telah diterima Sabah.

Foto Ihsan Twitter Khairy Jamaluddin

"Aktiviti pemberian vaksin CanSino diteruskan kepada penduduk di Pulau Mabul yang akan dijalankan selama dua hari, membabitkan 1,000 dos pada hari ini dan 1,000 lagi esok, selain 500 dos di Nabawan.

"Sebelum ini, vaksin itu telah diagihkan ke Pulau Sebatik membabitkan 2,400 dos, dan 1,200 dos lagi di pedalaman Kinabatangan, pada 29 serta 30 Ogos lalu," katanya melalui Twitter beliau, hari ini.

BH sebelum ini melaporkan, Malaysia akan memulakan pemberian pelalian satu dos apabila menerima sejumlah 200,000 dos vaksin CanSino daripada pembekal CanSino Biologics di China, 20 Ogos lalu.

Pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang bermula Februari lalu, turut membabitkan vaksin keluaran Pfizer-BioNTech (Cominarty), Sinovac (CoronaVac) dan AstraZeneca, manakala Johnson & Johnson sudah mendapat kelulusan bersyarat.

Solution Biologics adalah Pemegang Pendaftaran Produk bagi CanSino di Malaysia, dan vaksin itu mendapat kelulusan penggunaan bersyarat bagi kegunaan kecemasan di negara ini oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada 15 Jun lalu.

Dengan ketibaan bekalan vaksin itu, ia bakal memudahkan usaha imunisasi terutama di kawasan yang rendah akses, sekali gus membantu Malaysia mencapai sasaran imuniti kelompok mengikut garis masa ditetapkan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

1 Comment