2 Bangunan Kerajaan Negeri Sabah dikenali dengan nama baharu
12:09 Sep 06, 2021  |  By SabahKini2
2 Bangunan Kerajaan Negeri Sabah dikenali dengan nama baharu

Istana Negeri Sabah kini dikenali sebagai Istana Seri Kinabalu dan PPNS dikenali sebagai Menara Kinabalu.

KOTA KINABALU: Istana Negeri Sabah dan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) kini mula dikenali dengan nama baharu selepas diwartakan menerusi Warta Kerajaan Negeri Sabah.

Istana Negeri Sabah kini dikenali sebagai Istana Seri Kinabalu manakala PPNS dikenali sebagai Menara Kinabalu.

Warta Kerajaan Negeri Sabah itu dikeluarkan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong pada 5 Ogos lalu dan diterbitkan pada 26 Ogos lalu.

Kenyataan di dalam warta tersebut diterbitkan atas perintah Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin untuk makluman umum.

Bangunan Istana Seri Kinabalu berfungsi sebagai pejabat dan kediaman rasmi Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Menara Kinabalu menempatkan pejabat Ketua Menteri dan beberapa kementerian lain.

Antaranya Kementerian Kewangan, Jabatan Ketua Menteri dan Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah selain beberapa jabatan kerajan lain. - SM

Comment