Akhirnya, mayat pemandu Myvi hanyut ditemui
17:09 Sep 06, 2021  |  By SabahKini2
Akhirnya, mayat pemandu Myvi hanyut ditemui

Mangsa yang dikenali sebagai Simon Sanga Tupe, 68, ditemukan penduduk kampung di timbunan pasir kawasan tebing sungai Kampung Dambai berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Pomotodon Inanam.

KOTA KINABALU: Mayat pemandu kereta yang dihanyutkan arus deras dalam kejadian di Sungai Kionsom Inanam dekat sini pada 3 September lepas akhirnya ditemukan kira-kira jam 1.30 petang tadi.

Mangsa yang dikenali sebagai Simon Sanga Tupe, 68, ditemukan penduduk kampung di timbunan pasir kawasan tebing sungai Kampung Dambai berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Pomotodon Inanam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, penduduk kampung yang terlibat turut sama membantu dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan sejak 3 September lepas.

"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan kita berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam membantu operasi SAR," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang Jumaat lepas, pemandu berkenaan bersama seorang penumpang cuba menyeberangi jambatan di lokasi kejadian sebelum kereta yang dipandunya terbalik dan dihanyutkan oleh arus deras berikutan hujan lebat.

Mayat penumpang yang dikenali sebagai Juning Maturun, 37, ditemukan oleh penduduk kampung kira-kira jam 11.28 pagi Sabtu lepas di kawasan sekitar 200 meter dari Kampung Dambai.

Video rakaman kejadian terbabit sempat dirakam oleh individu yang berada di belakang kenderaan mangsa dan menyaksikan kejadian berkenaan.

Rakaman tersebut juga menjadi tular selepas dimuat naik di media sosial Facebook.

Comment