Sabah kembali rekod kes baharu lebih 2,000 kes
16:09 Sep 07, 2021  |  By SabahKini2
Sabah kembali rekod kes baharu lebih 2,000 kes

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, peningkatan kes baharu itu membabitkan daerah Sandakan yang merekodkan jumlah kes tertinggi sebanyak 308 kes berbanding 234 kes semalam.

KOTA KINABALU: Kes baharu COVID-19 di Sabah kembali mencatatkan jumlah yang tinggi dengan rekod sebanyak 2,107 kes hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, peningkatan kes baharu itu membabitkan daerah Sandakan yang merekodkan jumlah kes tertinggi sebanyak 308 kes berbanding 234 kes semalam.

Katanya, daerah lain yang mencatatkan peningkatan kes adalah Keningau dengan jumlah sebanyak 123 kes berbanding 69 kes pada Isnin, manakala Penampang merekodkan peningkatan sebanyak 51 kes dengan kes baharu sebanyak 167 kes.

Menurutnya, Kota Kinabalu merekodkan penurunan kes sebanyak 61 kes dengan 282 kes baharu berbanding 343 kes semalam, diikuti Tuaran sebanyak 148 kes, dan Tawau 128 kes.

"Sebanyak 788 kes atau 37.4 peratus kes membabitkan lewat daftar antara dua hingga tiga hari selepas tarikh keluar keputusan, 6.1 peratus atau 128 kes lewat daftar antara empat hingga lima hari dan 8.2 peratus atau 172 kes lagi lewat daftar melebihi lima hari.

"Saringan kontak rapat kekal penyumbang utama kepada kes harian dengan 1,141 kes, 740 kes saringan bergejala, dan 36 kes atau 1.7 peratus saringan kluster," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan kes, seramai 628 pesakit adalah kategori satu, pesakit kategori dua seramai 1,322 orang, kategori tiga seramai 18 orang, manakala pesakit kategori empat dan lima masing-masing enam orang.

Masidi berkata, daerah Papar merekodkan sebanyak 95 kes, Telupid 93 kes, Lahad Datu 84 kes, Putatan 80 kes, Kota Marudu dan Kota Belud masing-masing 75 kes, Kinabatangan 62 kes, dan Ranau 59 kes.

Katanya, Nabawan mencatatkan 45 kes, Kudat 42 kes, Beaufort 39 kes, Tenom 31 kes, Beluran 30 kes, Kunak 28 kes, Pitas dan Kalabakan masing-masing 22 kes, Tambunan 20 kes, Semporna 18 kes, Tongod 16 kes, dan Sipitang 15 kes.

Menurutnya, daerah Kuala Penyu menjadi satu-satunya daerah yang tidak merekodkan sebarang kes baharu hari ini.

Comment