Sanggup tikam adik demi dadah
15:09 Sep 09, 2021  |  By SabahKini2
Sanggup tikam adik demi dadah

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata suspek berumur 31 tahun itu sanggup menikam kepala adiknya menggunakan gunting kerana marah selepas tidak mendapat wang untuk membeli dadah.

BEAUFORT: Seorang lelaki nekad menikam kepala adiknya menggunakan gunting kerana marah selepas gagal mendapat wang untuk membeli dadah.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata suspek berumur 31 tahun itu turut mengamuk dan merosakkan barangan di rumah dalam kejadian di Kampung Pintas di sini kira-kira jam 5.30 petang semalam.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek pada mulanya meminta wang darioada ibunya bagaimanapun permintaannya tidak ditunaikan menyebabkan suspek marah sebelum mengamuk dan terus merosakkan barang-barang sambil menjerit-jerit.

“Adik suspek berumur 25 tahun yang melihat kejadian itu kemudian menegur suspek namun suspek terus menyerangnya sebelum berlaku pergelutan antara mereka.

“Suspek segera mengambil gunting dan nekad menikam kepala adiknya,” katanya semalam.

Beliau berkata ibu mereka yang melihat kejadian itu segera meleraikan pergaduhan anak-anaknya.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami luka di bahagian kepala dan dada akibat terkena gunting yang digunakan oleh suspek. 

“Mangsa sudah dirujuk ke Hospital Beaufort untuk rawatan lanjut,” katanya.

Yussof Zaki berkata bertindak dengan laporan polis yang dibuat oleh ahli keluarga terbabit suspek berjaya ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort.

Katanya turut dirampas adalah gunting yang digunakan ketika kejadian.

“Hasil siasatan mendapati suspek dipercayai penagih dadah dan wang yang diminta dipercayai untuk digunakan membeli barang terlarang berkenaan.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda yang merbahaya," katanya.

1 Comment