Syabu bernilai hampir RM 11 juta berjaya dirampas
18:09 Sep 09, 2021  |  By SabahKini2
Syabu bernilai hampir RM 11 juta berjaya dirampas

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata, rampasan itu kejayaan terbesar PDRM Sabah dalam melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di daerah Tawau.

TAWAU: Polis merampas kira-kira 303 kilogram syabu yang dianggarkan bernilai hampir RM11 juta di kawasan Membalua Batu 10 di sini, Isnin lepas dan disifatkan rampasan terbesar dalam sejarah Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sabah.

Rampasan terbabit hasil operasi bersama sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau kira-kira jam 7.30 malam.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata, rampasan itu kejayaan terbesar PDRM Sabah dalam melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di daerah Tawau.

“Dalam operasi itu, polis mendapati sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah di lokasi berkenaan.

“Pasukan polis cuba membuat pemeriksaan ke atas kenderaan terbabit, namun suspek bertindak cuba melarikan diri dengan memecut laju kenderaan tetapi berjaya ditahan di kawasan Batu Payung,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Menurutnya, pasukan polis berjaya menahan pemandu terbabit iaitu lelaki tempatan berumur 49 tahun yang disyaki pengedar dadah.

“Hasil pemeriksaan, polis menemukan sebanyak 12 beg bagasi di bahagian penumpang dan belakang kenderaan terbabit.

“Pemeriksaan lanjut terhadap kesemua beg berkenaan berjaya menemukan sebanyak 290 bungkusan plastik berisi dadah jenis syabu yang dianggarkan seberat 303.155 kilogram,” katanya.

Idris berkata, siasatan mendapati dadah yang dirampas itu disyaki cuba diseludup ke negara jiran dan jumlah dadah berkenaan mampu menampung seramai 1.5 juta penagih sekali penggunaan.

Katanya, saringan air kencing suspek didapati negatif dari sebarang jenis dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Suspek kini ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari dari tarikh ditangkap sehingga 15 September depan.

“Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952, suspek boleh dihukum mati mandatori,” katanya.

Sementara itu, Idris menjelaskan, pihaknya masih menyiasat secara terperinci sindiket penyeludupan dadah di negeri ini khususnya di Tawau.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati dadah berkenaan dibawa masuk ke Tawau dari negara luar menggunakan laluan laut.

Justeru katanya, polis tidak menolak kemungkinan sindiket terbabit turut menggunakan pelabuhan yang ada di negeri Sabah.

Menurutnya, polis juga mengambil tindakan menyita pelbagai aset suspek dianggarkan bernilai RM152,284.57.

“Aset yang dirampas membabitkan wang tunai RM5,000 semasa tangkapan, wang tunai RM22,000 di dalam rumah suspek, sebuah kenderaan bernilai RM30,000 dan wang dalam akaun RM95,284.57,” katanya.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sabah Asisten Komisioner Lam Thiam Huat dan Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas.

Comment