Kluster Rapak berpunca daripada pemilik kedai berumur 81 tahun
14:09 Sep 10, 2021  |  By SabahKini2
Kluster Rapak berpunca daripada pemilik kedai berumur 81 tahun

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun berkata, penularan berlaku susulan perhimpunan di kedai milik wanita yang berumur 81 tahun, setakat ini 42 orang dijangkiti di Ranau.

KOTA KINABALU: Seorang wanita berusia 81 tahun telah mencetuskan Kluster Rapak yang setakat ini menjangkiti sekurang-kurangnya 42 orang di Ranau.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun berkata, penularan berlaku susulan perhimpunan di kedai milik wanita itu.

Katanya, wanita itu pergi ke kedai berkenaan sebelum mula menunjukkan gejala seperti batuk, selesema dan sakit dada sejak 22 Ogos.

“Kes indeks kemudian disahkan positif virus itu di sebuah klinik swasta pada keesokannya,” katanya dalam kenyataan harian Covid-19, semalam.

Tambahnya, wanita itu kemudian kekal di rumah sebelum mendapat rawatan keesokannya.

Masidi berkata, pengesanan kontak antara 31 Ogos hingga 4 September lalu mendapati 21 orang dijangkiti, manakala satu lagi pusingan pengesanan semalam menunjukkan 20 lagi individu dijangkiti virus berkenaan.

“Keseluruhannya, 42 orang didapati dijangkiti termasuk lima kes baharu hari ini,” katanya.

Sementara itu, katanya, 2,298 kes jangkitan baharu direkodkan di negeri itu dalam tempoh 24 jam lalu, iaitu peningkatan 231 kes berbanding semalam.

Ini menjadikan jumlah kumulatif jangkitan di negeri itu sebanyak 167,737, dengan 33,220 kes masih aktif.

Beliau berkata, 4,995 pesakit menerima rawatan, iaitu 1,729 di hospital, 3,188 di pusat kuarantin dan rawatan risiko rendah, 72 di pusat tahanan sementara/penjara, dan enam di kemudahan swasta.

Tambahnya, 184 pesakit menerima rawatan kritikal merangkumi 129 di unit rawatan intensif atau unit penjagaan kritikal diubah suai, serta 55 di wad biasa. Sejumlah 82 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Masidi juga berkata 3,154 kes sembuh direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatifnya sebanyak 141,230.

Selain itu, katanya, 22 kematian direkodkan dalam 24 jam lalu seterusnya membawa jumlah kumulatif di negeri itu kepada 1,508. 

Comment