PPM halang percubaan 11 warga asing masuk perairan negara
15:09 Sep 10, 2021  |  By SabahKini2
PPM halang percubaan 11 warga asing masuk perairan negara

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, DSP Mohamad Ismail berkata, pemeriksaan awal mendapati terdapat 11 individu termasuk juragan bot terdiri lelaki, wanita dan kanak-kanak di dalam bot laju.

SEMPORNA: Seramai 11 warga asing diusir keluar selepas didapati cuba memasuki perairan negara di Pulau Kulapuan, di sini kelmarin.

Dalam kejadia kira-kira jam 5 petang itu, Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mengesan sebuah bot laju yang sarat dengan muatan dalam keadaan mencurigakan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, DSP Mohamad Ismail berkata, pemeriksaan awal mendapati terdapat 11 individu termasuk juragan bot terdiri lelaki, wanita dan kanak-kanak di dalam bot berkenaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas juragan dan penumpang mendapati kesemua mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Bagaimanapun, pasukan keselamatan tidak menemui barang-barang yang menyalahi undang-undang di dalam bot laju berkenaan,” katanya dalam kenyataan medianya di sini semalam.

Menurutnya, juragan dan semua penumpang terbabit diiring keluar dari perairan Semporna untuk diarahkan berpatah balik ke negara asal mereka selepas pemeriksaan dijalankan.

“Tindakan pengusiran itu selaras dengan kehendak undang-undang mengikut Akta Kawalan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1998 bagi mengekang penularan wabak COVID-19,” katanya.

Mohamad berkata PPM Wilayah 4 Sabah mengalu-alukan seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara.

 

Comment