Sabah merekodkan 2,246 kes baharu COVID-19
18:09 Sep 10, 2021  |  By SabahKini2
Sabah merekodkan 2,246 kes baharu COVID-19

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, hari ini Sabah mencatatkan 2,246 kes baharu COVID-19 menunjukkan penurunan sebanyak 52 kes berbanding 2,298 kes semalam.

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan sejumlah 2,246 kes baharu COVID-19 hari ini dengan penurunan sebanyak 52 kes berbanding semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, Kota Kinabalu merekodkan 302 kes dengan penurunan sebanyak 196 kes berbanding semalam.

"Kes juga turun di kawasan bandar lain seperti Sandakan, Penampang dan Tawau tetapi naik 75 kes di Tuaran. 

"Kluster baharu Sawit Perpaduan di Kinabatangan mengakibatkan jumlah kes di daerah berkenaan melonjak ke 112 kes daripada 47 kes semalam,  kenaikan 65 kes," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, daripada 2,246 kes yang direkodkan hari ini, sejumlah 1,149 kes adalah kes lewat daftar antara dua sehingga tiga hari selepas keputusan saringan diketahui, 89 kes lewat daftar antara empat sehingga lima hari dan 154 kes adalah lewat daftar melebihi lima hari.

Katanya, saringan kontak rapat menyumbang 1,247 kes daripada 2,246 kes hari ini, saringan bergejala 714 kes dan 102 kes daripada kluster-kluster sedia ada.

"Saringan-saringan lain menyumbang 182 kes baharu. 33.8 peratus daripada kes di daerah Kota Kinabalu adalah melalui saringan bergejala, 46.3 peratus di Tawau, 41.6 peratus di Penampang, 40.2 peratus di Sandakan dan 22 peratus di Tuaran.

"Kategori 2 masih kumpulan terbesar pesakit, yakni 1,473 daripada 2,246 kes yang dicatat hari ini," katanya.

Menurutnya, seramai 712 pesakit pula adalah dalam kategori 1, empat orang dalam kategori 3, dua orang adalah kategori 4 dan seorang dalam kategori 5. Sebanyak 54 kes lagi masih dalam siasatan.

Katanya, setakat 9 September 2021 seramai 49.5 peratus penduduk dewasa Sabah telah pun melengkapkan pengambilan vaksin dan 65.8 peratus lagi telah memperolehi 1 dos.

Comment