Projek Sarawak Sabah Link Road bermula bulan September siap 2026
13:09 Sep 11, 2021  |  By SabahKini2
Projek Sarawak Sabah Link Road bermula bulan September siap 2026

Projek Sarawak Sabah Link Road (SSLR) melibatkan pembinaan jalan raya sepanjang 77 kilometer (km) dari bandar Lawas ke persimpangan Long Lopeng.

Pembinaan Projek Sarawak Sabah Link Road (SSLR) dijangka bermula bulan ini dan dijadualkan siap pada 2026, kata Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof 

Beliau berkata, projek fasa pertama di bawah kementerian ini melibatkan pembinaan jalan raya sepanjang 77 kilometer (km) dari bandar Lawas ke persimpangan Long Lopeng.

“Jalan ini apabila siap nanti akan memberikan keselesaan kepada pengguna dari pedalaman Sarawak yang sebelum ini menggunakan laluan pembalakan.

“Selain itu turut merancakkan pelancongan berasaskan eko dan pertanian sekaligus memanfaatkan komuniti pedalaman. Ia juga memudahkan mereka akses dengan kemudahan asas seperti klinik dan sekolah,” katanya dalam ucaptama sempena simposium bertajuk Cabaran dan Peluang Pembangunan Infrastruktur di Borneo di webinar pada Jumaat.

Simposium yang diadakan pada 10 hingga 11 September itu dianjurkan oleh Institut Kejuruteraan Malaysia (IEM) cawangan Miri dan Curtin Highway Infrastructure Research and Innovation Hub (CHIRI), Curtin University Malaysia (Curtin Malaysia).

Turut hadir Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin, Presiden IEM Ir Ong Ching Loon, Ketua Pegawai Ekseutif (CEO) Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) Ismawi Ismuni dan Pro Naib Canselor dan CEO Curtin Malaysia Professor Simon Leunig.

Mengenai projek Lebuh Raya Pan Borneo fasa pertama, Fadillah berkata setakat ini menunjukkan kemajuan apabila masing-masing mencapai kemajuan 70 peratus di Sarawak dan 56 peratus di Sabah.

Katanya, pakej kerja ini meliputi lebuh raya sepanjang 786 km termasuk pembinaan jambatan dari Telok Melano ke Miri manakala 706 km lagi dari Sindumin ke Tawau.

“Kementerian turut mencadangkan menaiktaraf jalan dari Persimpangan Kuala Baram ke Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Sungai Tujoh) yang dijadualkan siap pada 2025.”

“Projek ini akan menghubungkan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak yang tamat di persimpangan Kuala Baram; ke sempadan Sarawak dan Sabah dan mengurangkan kesesakan memandangkan ia satu-satunya jalan ke Limbang, Lawas dan Brunei pada masa kini,” katanya.

Beliau menambah cabaran utama projek Lebuh Raya Pan Borneo adalah akses terhad tenaga kerja dan bahan binaan; kekurangan kontraktor dan sub kontraktor tempatan yang layak, bentuk topografi darat, pembiayaan terhad selain polisi dan peraturan dalam perlaksanaan projek.

Fadillah turut menggesa sektor pembinaan beralih ke teknologi Revolusi Industri 4.0 dalam pembinaan secara automasi dan mengurangkan penggunaan tenaga kerja kurang mahir.

“Saya berharap para peserta simposium hari ini dapat membantu usaha kerajaan dengan berkongsi teknologi, sistem data dan inovasi dalam membangunkan infrastruktur yang berkualiti dan lestari.”

Beliau menambah, salah satu inisiatif yang diambil oleh Malaysia untuk meningkatkan pembangunan infrastruktur rentas sempadan atau transnasional di Sabah dan Sarawak adalah melalui komitmen yang dibuat di bawah Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

Katanya, ini diharap dapat meningkatkan hubungan di dalam dan di luar wilayah ini serta melalui pemahaman sosio-budaya dan meningkatkan mobiliti.

Projek BIMP-EAGA 2025 meliputi menaiktaraf Jalan Kalabakan di Serudong, Tawau menghubungkan Simanggaris, Kalimantan Timur.

Terdahulu, beliau berkata cabaran pandemik COVID-19 memberi peluang kepada kementerian untuk mengkaji strategi baharu bagi memastikan sektor pembangunan di negara ini tidak terus terjejas.

Katanya, pandemik ini bukan hanya menyebabkan kekurangan kewangan dan tenaga buruh dalam pembinaan, malah rantaian binaan turut terjejas menyebabkan kelewatan projek.

“Mungkin ini adalah masa terbaik kepada kita untuk mengenalpasti pembekal dan pasaran baharu serta berinovasi dengan kaedah yang lebih efektif.”

“Kita mesti berjaga-jaga dan beringat bahawa penularan wabak di tapak pembinaan dan kawasan persekitaran bukan hanya mendedahkan pemaju dengan risiko besar malah semua industri pembinaan,” katanya.

4 Comments