Kerajaan pimpinan Ismail Sabri, PH tandatangan MOU esok
23:09 Sep 12, 2021  |  By SabahKini2
Kerajaan pimpinan Ismail Sabri, PH  tandatangan MOU esok

Perjanjian itu dijangka dapat membentuk asas kepercayaan, dengan pembangkang akan menyokong kerajaan menerusi undian penting di Dewan Rakyat seperti belanjawan persekutuan. Kerajaan akan tumbang secara automatik, jika belajawan tahunan gagal diluluskan.

Pemimpin dari kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan (PH) mencapai persetujuan untuk menjalin kerjasama politik antara kedua-dua blok dan akan memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) esok.

Perjanjian itu dijangka dapat membentuk asas kepercayaan, dengan pembangkang akan menyokong kerajaan menerusi undian penting di Dewan Rakyat seperti belanjawan persekutuan. Kerajaan akan tumbang secara automatik, jika belajawan tahunan gagal diluluskan.

Menerusi satu kenyataan bersama, mereka berkata, MoU itu dimuktamadkan selepas beberapa pusingan rundingan antara kedua-dua pihak.

Katanya, MoU itu bertujuan mengembalikan kestabilan politik negara demi menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi melalui kerjasama dwipartisan.

Melalui MoU itu, tumpuan akan diberikan kepada lanskap politik baharu melalui inisiatif transformasi dan pembaharuan terhadap tatakelola pentadbiran kerajaan, khususnya memperkasakan peranan institusi Parlimen.

“Kedua-dua pihak juga bersetuju mendedahkan sepenuhnya MoU ini kepada umum sebagai komitmen terhadap keterbukaan penuh dan kebertanggungjawaban.”

Mereka berkata, MoU itu akan ditandatangani di bangunan Parlimen pada 5 petang esok oleh Ismail, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Presiden UPKO, Wildred Madius Tangau.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan selepas pertemuan kedua-dua pihak di ibu negara hari ini, dengan pihak kerajaan diwakili Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Takiyuddin Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, Setiausaha Organisasi DAP, Loke Siew Fook, Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo, Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil pula mewakili PH.

Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan tujuh tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Ismail berkata, tawaran dan komitmen kerajaan itu sejajar titah Yang di-Pertuan Agong dan raja Melayu mengenai pentingnya pentadbiran stabil yang dapat berfungsi secara biasa dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis.

Tawaran transformasi itu antara lain membabitkan jawatan Perdana Menteri dihadkan 10 tahun, menggubal rang undang-undang antilompat parti, pelaksanaan pindaan Undi18 dalam tempoh terdekat dan Ketua Pembangkang diberikan saraan serta kemudahan yang setara menteri.

1 Comment