Sabah laksana syarat lengkap 2 dos vaksin bermula 21 September
14:09 Sep 13, 2021  |  By SabahKini2
Sabah laksana syarat lengkap 2 dos vaksin bermula 21 September

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, sehingga hari ini, kadar vaksinasi di Sabah baru mencapai 52%, maka tarikh syarat ini berkuatkuasa dianjak kepada 21 September, yakni tarikh sasaran Sabah mencapai tahap vaksinasi

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan melaksanakan syarat lengkap dua dos vaksin kepada pekerja dan pelanggan restoran dan pasar raya bermula pada 21 September ini.

Maka, semua pekerja dan pelanggan bagi semua sektor perdagangan dan pengedaran, restoran serta pasar raya hendaklah lengkap divaksin menjelang tarikh tersebut.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, tarikh pelaksanaan syarat lengkap divaksin itu dianjakkan daripada 15 September kepada 21 September setelah mengambil kira proses vaksinasi semasa.

“Sehingga hari ini, kadar vaksinasi di Sabah baru mencapai 52 peratus, maka tarikh syarat ini berkuatkuasa dianjak kepada 21 September, yakni tarikh sasaran Sabah mencapai tahap vaksinasi 60 peratus,” katanya semalam.

Menurutnya, mengambil kira terdapat kelewatan pekerja sektor perdagangan dan pengedaran, restoran serta pasar raya untuk menerima dos kedua, khususnya vaksin Astra-Zeneca. Maka, majikan boleh memohon pengecualian sementara bagi membolehkan kakitangan mereka bekerja.

Permohonan hendaklah dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan menyenaraikan nama kakitangan yang terlibat berserta tarikh pengambilan dos pertama dan jadual tarikh pengambilan dos kedua.

Dalam pada itu, Masidi berkata, hari ini Sabah mencatatkan 1,717 kes positif Covid-19 setelah berbulan lamanya kes di negeri ini melebihi paras 2,000 kes.

Daripada jumlah itu, 169 kes membabitkan kanak-kanak berusia lima tahun dan ke bawah termasuk 18 orang bayi berusia kurang daripada setahun.

Sementara itu, satu lokaliti diletakkan dibawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu Perumahan IOI Plantations Unico Oil Mill Sdn Bhd, Segama, Lahad Datu bermula 14 hingga 27 September ini.

Sehingga kini, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Sabah adalah 173,863 kes.

Comment