Pemimpin Sabah Singapura ingin bina hubungan yang lebih baik
23:02 Feb 01, 2018  |  By SabahKini2
Pemimpin Sabah Singapura ingin bina hubungan yang lebih baik

Lee juga menyatakan bahawa beliau akan melawat Sabah dalam masa terdekat ini, memandangkan kali terakhir beliau mengunjungi negeri itu adalah pada 34 tahun yang lalu iaitu pada tahun 1984.

SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan Ketua Menteri Sabah, Musa Aman, membincangkan kaedah untuk meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang.

Mengulas mengenai minat republik tersebut yang ingin membina hubungan rapat dengan Sabah dan Sarawak, Lee berkata: "Banyak perniagaan boleh dijalankan di antara Sabah dan Singapura."

Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat daripada delegasi negeri Sabah yang diketuai oleh Musa ke Istana di sini.

Lee juga menyatakan bahawa beliau akan melawat Sabah dalam masa terdekat ini, memandangkan kali terakhir beliau mengunjungi negeri itu adalah pada 34 tahun yang lalu iaitu pada tahun 1984.

Sementara itu, Musa pula berkata bahawa Sabah boleh mempelajari banyak perkara daripada Singapura terutamanya dari aspek kepelbagaian ekonomi, pembangunan sumber manusia dan juga perancangan bandar.

"Singapura telah mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang dan kita boleh mendapat manfaat daripada pengalaman mereka," sambung beliau.

Musa turut menyatakan yang Sabah juga telah berhasil mempelbagaikan ekonominya daripada sebuah ekonomi yang berasaskan pembalakan kepada ekonomi yang berasaskan perkhidmatan, seperti pelancongan contohnya.

"Kami mengharapkan agar lawatan ini berjaya mengeratkan lagi hubungan baik antara Singapura dan Sabah yang terjalin selama ini di samping turut membuka jalan kepada kerjasama dagangan dalam bidang-bidang lain yang dilihat berpotensi," kata Musa yang sedang dalam rangka lawatan kerja selama dua hari ke Singapura.

Terdahulu, delegasi dari Sabah itu mengadakan pertemuan dan makan tengah hari bersama Menteri Kanan bagi Pertahanan dan Hal Ehwal Luar Singapura, Dr Mohamad Maliki Osman, di pejabat beliau.

Turut sama dalam delegasi itu ialah Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri Sabah Joseph Pairin Kitingan, Menteri Pembangunan Industri Raymond Tan Shu Kiah, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Masidi Manjun, Menteri Tugas Khas Teo Chee Kang, dan juga Setiausaha Kerajaan Negeri Sukarti Wakiman.

Comment