Isu Sabah, Sarawak diberi perhatian melalui rundingan Majlis Khas MA63
00:09 Sep 17, 2021  |  By SabahKini2
Isu Sabah, Sarawak diberi perhatian melalui rundingan Majlis Khas MA63

Ismail Sabri menjelaskan kerajaan akan memperhalusi perkara-perkara yang perlu diselesaikan melalui rundingan menerusi Majlis Khas Perjanjian Malaysia (MA63) yang dipengerusikan oleh beliau

Kerajaan akan memberi perhatian terhadap isu yang berkaitan dengan kepentingan Sabah dan Sarawak, kata Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri menjelaskan kerajaan akan memperhalusi perkara-perkara yang perlu diselesaikan melalui rundingan menerusi Majlis Khas Perjanjian Malaysia (MA63) yang dipengerusikan oleh beliau.

Selain itu Majlis Khas MA63 itu turut dianggotai Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan lapan menteri persekutuan.

"Usaha ini membuktikan, kerajaan komited dalam memberi perhatian terhadap isu yang berkaitan dengan pelbagai perkara penting bagi negeri Sabah dan Sarawak.

"Kita perlu bersyukur, meskipun Malaysia sebuah negara yang negeri-negerinya terpisah oleh Laut China Selatan, setiap cabaran telah berjaya ditangani dan dihadapi dengan kerangka tindakan toleransi dan demokratik, berpaksikan keluhuran perlembagaan serta kedaulatan undang-undang," katanya ketika menyampaikan Perutusan Sempena Sambutan Hari Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.

Perdana Menteri menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menghayati dengan mendalam makna Hari Malaysia sebagai Keluarga Malaysia yang besar.

Katanya, perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan bangsa, selain integrasi nasional silang budaya, serta merentasi ideologi politik, adalah tunjang kekuatan sebagai sebuah negara bangsa yang berjaya.

 

6 Comments