Konsep keluarga Malaysia sesuai di Sabah - Hajiji
16:09 Sep 17, 2021  |  By SabahKini2
Konsep keluarga Malaysia sesuai di Sabah - Hajiji

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata ‘Keluarga Malaysia’ adalah satu konsep kenegaraan yang begitu utuh dan berupaya menyimpulkan ikatan akrab sekalian rakyat jelata yang berbilang kaum, agama dan budaya.

KOTA KINABALU: Pendekatan konsep ‘Keluarga Malaysia’ disifatkan relevan dan bersesuaian di Sabah berikutan rakyat negeri itu yang sejak sekian lama hidup harmoni bersama walaupun terdapat banyak perbezaan kaum.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata ‘Keluarga Malaysia’ adalah satu konsep kenegaraan yang begitu utuh dan berupaya menyimpulkan ikatan akrab sekalian rakyat jelata yang berbilang kaum, agama dan budaya.

“Hakikatnya, pendekatan Keluarga Malaysia amat relevan dengan kami di bumi bawah bayu ini. Sabah sudah sekian lama tersohor sebagai negeri teladan dalam citra keharmonian masyarakat.

“Sejak dulu, norma kehidupan rakyat Sabah adalah berasaskan rasa saling hormat dan mengiktiraf kepelbagaian serta perbezaan.

“Bagi kami di Sabah, institusi keluarga tidak pernah dibatasi perbezaan suku, agama dan budaya kerana realitinya begitu banyak keluarga di Sabah yang dibina atas kepelbagaian itu.

“Saya sendiri lahir atas kerencaman itu dengan darah suku Bajau Sama, Dusun dan Iranun. Malah semua suku kaum di Sabah sudah sebati dengan nilai kekeluargaan yang majmuk dan harmoni, serta sifat keterbukaan dan kebersamaan,” katanya berucap pada majlis Sambutan Hari Malaysia 2021 yang diadakan bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Turut hadir, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Selain itu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan turut hadir dalam majlis terbabit mewakili Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.

Hajiji turut berkata, semangat Keluarga Malaysia berupaya mewujudkan kesatuan dan kebersamaan seluruh rakyat jelata dalam menangani pandemik COVID-19 yang melanda negara ketika ini.

“Cabaran luar biasa ini menuntut kerjasama dan komitmen semua pihak. Bukan sikap menuding jari mencari salah, tetapi keikhlasan dalam mencari solusi.

“Realitinya, komitmen dan disiplin diri setiap daripada kita adalah sebahagian daripada jalan penyelesaian.

“Kita amat menghargai penat lelah dan pengorbanan para petugas barisan hadapan yang bekerja keras, siang dan malam demi menjamin kesihatan, keselamatan dan kebajikan sekalian rakyat.

“Sebagai ahli kepada Keluarga Malaysia, tidak kira status dan kedudukan, kita perlu memainkan peranan masing-masing untuk membendung pandemik ini,” katanya.

Hajiji berkata, pembentukan Malaysia membawa banyak nikmat dan manfaat kepada pelbagai lapisan rakyat di seluruh negara termasuk Sabah.

“Kita amat menghargai keprihatinan kerajaan Persekutuan kepada rakyat di Sabah. Keamanan, kemakmuran dan kemajuan bukanlah frasa yang kita hanya dengar tetapi kita dapat lihat dan rasai saban hari,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri bersyukur berikutan kedudukan Hari Malaysia menjadi satu daripada sambutan yang menjadi signifikan di hati rakyat Malaysia.

Selain itu, Bung Mokhtar pula menggesa sambutan Hari Malaysia dihayati bagi membugarkan semangat perpaduan seluruh rakyat dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang bersatu hati sebagai sebuah bangsa yang berjaya dan dihormati.

“Jadikanlah tarikh 16 September ini sebagai titik pembaharuan semangat perpaduan kita demi membentuk sebuah negara yang bersatu, makmur dan bermaruah sejajar dengan pendekatan Perdana Menteri mewujudkan ‘Keluarga Malaysia’ bagi mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.

Comment