Selamatkan warga emas, bomba paksa redah tanah runtuh
16:09 Sep 17, 2021  |  By SabahKini2
Selamatkan warga emas, bomba paksa redah tanah runtuh

Ketua Operasi Bomba, Jamaludin Husin berkata operasi itu adalah bagi menyelamatkan mangsa berumur 89 tahun yang menghidap sakit tua dan cuba menyelamatkan diri daripada runtuhan tanah yang berlaku di hadapan rumahnya pada jam 8 pagi.

PENAMPANG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah sebagai pasukan penyelamat terpaksa meredah lumpur selain perlu memotong dahan pokok pelbagai saiz bagi menyelamatkan warga emas di Kampung Sugud, semalam.

Ketua Operasi Bomba, Jamaludin Husin berkata operasi itu adalah bagi menyelamatkan mangsa berumur 89 tahun yang menghidap sakit tua dan cuba menyelamatkan diri daripada runtuhan tanah yang berlaku di hadapan rumahnya pada jam 8 pagi.

“Semasa menyelamatkan diri itu mangsa dikatakan tergelincir sehingga patah kaki dan terpaksa mendapatkan bantuan agar dibawa keluar bagi menerima rawatan lanjut.

“Bertindak dengan laporan yang diterima jam 8.19 pagi, kita menggerakkan sembilan anggota dan pegawai bomba ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat mangsa.

“Semasa dalam perjalanan ke rumah mangsa, pasukan bomba terhalang oleh tanah runtuh dan pokok tumbang serta kabel elektrik pada jarak sejauh kira-kira 500 meter dari kawasan rumah mangsa,” katanya.

Menurutnya pasukan bomba bertindak melakukan operasi pemotongan kayu bagi memberi laluan masuk ke rumah mangsa.

“Bomba yang tiba di rumah mangsa segera memberikan rawatan awal serta pemasangan ‘lower limb’ di kaki mangsa yang patah kaki dan sakit tua.

“Sebaik sampai ke jalan utama, mangsa terus dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) menggunakan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) bagi mendapatkan rawatan lanjut. Keadaan mangsa juga dilaporkan stabil,” katanya.

Comment