Kemalangan di Tenom-Keningau, wanita maut tercampak keluar dari kenderaan
17:09 Sep 17, 2021  |  By SabahKini2
Kemalangan di Tenom-Keningau, wanita maut tercampak keluar dari kenderaan

Ketua Polis Daerah Tenom Deputi Superintendan Hasan Majid berkata, kemalangan membabitkan Proton Iswara dan Perodua Myvi, kedua kenderaan tersebut bertembung hingga menyebabkan penumpang Proton Iswara tercampak keluar dari keretanya.

TENOM: Penumpang wanita maut selepas tercampak keluar dari kenderaan dipandu ibunya dalam kemalangan di Kilometer 11, Jalan Tenom-Keningau dekat sini, semalam.

Dalam kejadian pada 5.30 petang itu, mangsa berusia 25 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di badan dan kepala.

Ibu mangsa yang berusia 54 tahun pula turut mengalami kecederaan dan kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Tenom.

Ketua Polis Daerah Tenom Deputi Superintendan Hasan Majid berkata, kemalangan itu membabitkan Proton Iswara dan Perodua Myvi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua kenderaan itu bertembung hingga menyebabkan penumpang Proton Iswara tercampak keluar dari keretanya.

“Pemandunya pula dipercayai mengalami kecederaan dalaman dan terus dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Pemandu Perodua Myvi bersama anaknya tidak mengalami kecederaan serius dan dirawat sebagai pesakit luar, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Comment