Kontraktor penipuan bina rumah diberkas, kerugian bernilai RM43,000
15:09 Sep 23, 2021  |  By SabahKini2
Kontraktor penipuan bina rumah diberkas, kerugian bernilai RM43,000

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob, berkata, suspek berusia 37 tahun itu berjaya ditahan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, jam 3.30 petang.

BEAUFORT: Seorang kontraktor diberkas, semalam, kerana disyaki memperdaya seorang mangsa dalam urusan pembinaan rumah sehingga mengakibatkan kerugian sebanyak RM43,000.

Suspek berusia 37 tahun itu berjaya ditahan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, jam 3.30 petang.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob, berkata hasil siasatan awal mendapati suspek didakwa membuat perjanjian dengan mangsa untuk pembinaan rumah berkeluasan 83 meter persegi pada Februari 2017.

Justeru, beliau berkata, suspek didakwa meminta mangsa membuat bayaran pendahuluan sebelum kerja pembinaan dapat dijalankan.

“Mangsa kemudian dikatakan membuat tiga transaksi bayaran deposit kepada syarikat milik suspek membabitkan nilai keseluruhan RM43,000.

“Namun selepas pembayaran itu dilakukan, kerja pembinaan rumah berkenaan didakwa tidak pernah dijalankan hingga kini,” katanya.

Yusoff Zaki berkata, mangsa dikatakan cuba menghubungi suspek untuk mendapatkan maklum balas tetapi gagal.

Susulan itu, beliau berkata, mangsa pergi ke pejabat suspek yang beralamat di Asia City, Kota Kinabalu, namun terkejut apabila mendapati pejabat terbabit tidak lagi wujud.

“Mangsa yang mengesyaki dirinya ditipu telah membuat laporan polis dan siasatan terus dijalankan sehingga suspek berjaya ditahan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan,” katanya.

2 Comments