Lebih 50% remaja di Sabah terima dos pertama vaksin Covid-19
04:09 Sep 28, 2021  |  By SabahKini2
Lebih 50% remaja di Sabah terima dos pertama vaksin Covid-19

Menurut Datuk Seri Masidi Manjun 20,148 remaja telah menerima suntikan vaksin itu menjadikan jumlah kumulatif remaja menerima dos pertama seramai 215,249 orang.

Lebih separuh atau 50.5 peratus penduduk remaja berusia 12 hingga 17 tahun di Sabah telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 setakat semalam, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun. 

Jurucakap COVID-19 Sabah itu berkata semalam 20,148 remaja telah menerima suntikan vaksin itu menjadikan jumlah kumulatif remaja menerima dos pertama seramai 215,249 orang. 

“Ini angka memberangsangkan sejak Sabah memberi kebenaran suntikan vaksin bermula 16 Sept lepas,” katanya menerusi kenyataan malam ini. 

Masidi berkata sehingga semalam juga lebih 1.68 juta atau 61.2 peratus penduduk di negeri ini telah menerima suntikan lengkap vaksin itu. 

Sementara itu, beliau berkata Sabah merekodkan 1,078 kes baharu hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 194,264 kes. 

“Bilangan pesakit sembuh ialah 2,394 orang menjadikan jumlah kumulatif 173,450 orang manakala 3,493 orang masih menerima rawatan,” katanya- BERNAMA

1 Comment