Ismail Sabri jamin selesai Isu MA63 bawah RMK12
04:09 Sep 28, 2021  |  By SabahKini2
Ismail Sabri jamin selesai Isu MA63 bawah RMK12

Peruntukan berjumlah RM7.7 bilion, iaitu RM3.61 bilion kepada Sabah dan RM4.09 bilion kepada negeri Sarawak disediakan bagi pelaksanaan (program) JENDELA sepanjang tempoh RMK12.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan akan menyelesaikan isu tuntutan Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini, saya komited untuk menyelesaikan isu-isu berhubung tuntutan Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963,” katanya dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), hari ini.

Ia termasuklah keperluan infrastruktur asas, kawal selia gas dan elektrik, aspek pendigitalan, mengurangkan kadar kemiskinan, termasuk merapatkan jurang pendapatan.

Bagi aspek infrastruktur Ismail berkata, penyediaan infrastruktur asas akan diperluas dengan membina jambatan dan menaik taraf 1,400 kilometer (km) jalan berturap luar bandar serta menyiapkan pembinaan 1,150 km Lebuhraya Pan Borneo.

“Usaha mengurangkan jurang pembangunan ekonomi antara negeri, wilayah serta antara bandar dan luar bandar akan terus diberi tumpuan. Usaha melonjakkan pertumbuhan negeri kurang membangun terutama Sabah dan Sarawak akan dipergiat.

“Ia bermatlamat untuk mempercepatkan pertumbuhan kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang perlahan di negeri Kedah, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu serta mengurangkan kadar kemiskinan, terutama di Sabah, Kelantan dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, bagi tujuan ini, sekurang-kurangnya 50% daripada keseluruhan peruntukan pembangunan asas persekutuan akan diagihkan kepada negeri-negeri berkenaan.

“Seperti yang saya umumkan semasa Hari Malaysia, peruntukan berjumlah RM7.7 bilion, iaitu RM3.61 bilion kepada Sabah dan RM4.09 bilion kepada negeri Sarawak disediakan bagi pelaksanaan (program) JENDELA sepanjang tempoh RMK12. Dengan peruntukan ini, liputan jalur lebar akan dipertingkat melalui pembinaan infrastruktur digital, termasuk pembinaan menara atau pemancar telekomunikasi.

“Sehingga Ogos 2021, sebanyak 2,645 infrastruktur digital siap dipasang di Sabah dan 2,117 di Sarawak. Bagi menambah baik bekalan elektrik, loji janakuasa baharu akan dibina dan talian penghantaran Grid Timur-Barat Sabah akan dinaik taraf. Projek pembinaan hidroelektrik Baleh di Sarawak dijangka siap pada tahun 2025,” katanya.

Ismail berkata, perkhidmatan penjagaan kesihatan akan dapat dipertingkat dengan siapnya Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

“Pembinaan 26 buah klinik baharu akan dapat menambah baik perkhidmatan penjagaan kesihatan di klinik desa di kedua-dua negeri. Selain itu, pembinaan rumah baharu dan pembaikan rumah daif di bawah program bantuan rumah akan memberi manfaat kepada 26,000 isi rumah miskin di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, dengan pelaksanaan strategi dan inisiatif melonjakkan pembangunan Sabah dan Sarawak ini, pertumbuhan purata KDNK tahunan Sabah dijangka meningkat pada kadar 6.5 % dan Sarawak pada kadar 5.3% dalam tempoh 2021 hingga 2025.

“Dalam usaha mentransformasi kawasan luar bandar, aktiviti ekonomi yang mempunyai nilai tambah yang tinggi akan dirancakkan melalui platform e-dagang, pertanian pintar dan industri luar bandar,” katanya.

Katanya, infrastruktur luar bandar akan dipertingkatkan dengan membina dan menaik taraf 2,800 km jalan berturap

“Bagi mempergiat aktiviti sosio-ekonomi setempat pula, projek-projek kecil luar bandar akan terus dilaksana seperti program ameniti sosial dengan peruntukan RM310 juta dan pembinaan jalan perhubungan desa dengan kos sebanyak RM1.6 bilion,” katanya.

Ismail berkata, selain itu usaha juga akan dipertingkat untuk memastikan akses kepada bekalan air bersih mencapai 98% dan bekalan elektrik 99%

1 Comment