Setahun Kerajaan GRS, pemimpin Sabah wajar muhasabah diri kata Salleh
12:09 Sep 29, 2021  |  By SabahKini2
Setahun Kerajaan GRS, pemimpin Sabah wajar muhasabah diri kata Salleh

Sabah sebagai sebuah negeri yang bakal meraikan usia 140 tahun pada 1 Nov ini. Kini setahun usia Kerajaan GRS pemimpin Sabah wajar muhasabah diri memperjuangkan hala tuju masa depan negeri Sabah

Salleh Said Keruak dalam facebooknya mengimbau detik sejarah pemerintahan Sabah sebagai sebuah negeri yang bakal meraikan usia 140 tahun pada 1 Nov ini.

“Menurut sejarah, pada 1 November 1881 Syarikat Borneo Utara mendapat Piagam Diraja Inggeris untuk mentadbir negeri Sabah yang pada mulanya dikenali sebagai Borneo Utara. Pada 1981, kita sudah menyambut ulang tahun 100 tahun sejarah ini.

“Sebagai renungan, kita sudah lalui pelbagai bentuk pemerintahan dengan pahit manis tersendiri,” tambah beliau.

Bekas Ketua Menteri dan Menteri Persekutuan itu mengingatkan pemimpin di Sabah wajar muhasabah diri dan terus memperjuangkan hala tuju, kepentingan dan masa depan negeri dalam konteks persekutuan Malaysia.

Salleh memberi peringatan berkenaan sempena setahun pemerintahan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Sempena meraikan setahun pemerintahan kerajaan GRS, saya ingin mengingatkan diri sendiri dan rakan seperjuangan bahawa kita wajar memuhasabah diri dan terus bebas memperjuangkan hala tuju, kepentingan dan masa depan Sabah sendiri dalam konteks persekutuan Malaysia,” katanya di Facebook.

GRS yang diketuai Ketua Menteri Hajiji Noor memenangi majoriti kerusi dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah 2020 yang berlangsung pada 27 Sept dan berjaya menjadi kerajaan sah di Sabah.

Komponen utama dalam gabungan itu adalah Barisan Nasional, Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), STAR dan SAPP.

 

Comment