Sabah terus merekodkan penurunan kes baharu COVID-19 kepada 784 kes
16:10 Oct 02, 2021  |  By SabahKini2
Sabah terus merekodkan penurunan kes baharu COVID-19 kepada 784 kes

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata penurunan sebanyak 88 kes menunjukkan kebanyakan daerah di Sabah mencatatkan penurunan.

KOTA KINABALU: Sabah terus mencatatkan perkembangan positif dengan mencatatkan kadar penurunan kes harian lebih tinggi iaitu hanya 784 kes baharu berbanding hari sebelumnya.

Tiada daerah yang mencatatkan kes melebihi angka 100 dan ibu negeri kekal mencatat kes tertinggi iaitu 79 kes diikuti Ranau 77, Keningau 60, Lahad Datu 59.

Beberapa daerah mencatatkan angka kurang dari 50 iaitu Sandakan 46, Tenom 46, Tawau 44, Tuaran 43, Kota Marudu 39, Kota Belud 38, Penampang 33, Pitas 27, Beluran 25 dan Papar 22.

Empat daerah mencatatkan jumlah paling rendah iaitu kurang daripada angka 10 ialah Tongod lapan, Tambunan tujuh, Kuala Penyu tiga dan tiada kes dicatat di Kalabakan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata penurunan sebanyak 88 kes itu menunjukkan kebanyakan daerah di Sabah mencatatkan penurunan seterusnya membantu mengekalkan trend penurunan kes secara keseluruhan di negeri ini.

“Sehingga kini statistik menunjukkan jumlah kes keputusan saringan yang tertunggak juga terus berkurangan dan hanya lima kes dicatatkan bagi kes yang lewat didaftar melebihi lima hari semalam.

“Untuk jumlah itu juga 13 kes dicatatkan bagi kelewatan antara empat hingga lima hari dan 257 kes bagi tempok melebihi antara dua hingga tiga hari selepas saringan keputusan diketahui,” katanya dalam kenyataan COVID-19 harian semalam.

Beliau berkata statistik itu juga diikuti dengan kadar pesakit bagi kategori tiga hingga lima yang memerlukan rawatan di hospital yang menunjukkan jumlah ini kekal rendah pada satu digit. 

“Hanya dua orang dikelaskan untuk kategori tiga, tiga orang pada kategori empat dan hanya seorang bagi kategori lima.

“179 bagi kategori pertama dan 544 bagi kategori dua sementara 55 kes lagi masih dalam siasatan lanjut,” katanya.

Tambahnya daripada keseluruhan kes yang direkodkan semalam, 483 orang adalah pesakit kontak rapat, 216 daripada kategori bergejala dan 12 orang daripada Kluster sedia ada. 

“73 kes lagi diperolehi melalui lain-lain saringan lain dan terdapat 14 orang Orang Kena Tahan (OKT) atau Banduan dengan rekod keseluruhan 95.9 peratus pesakit adalah melibatkan warganegara Malaysia,” katanya.

Comment