Panggil segera Duta China untuk beri penjelasan
18:10 Oct 02, 2021  |  By SabahKini2
Panggil segera Duta China untuk beri penjelasan

Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, ini merupakan satu pencerobohan kawasan, kerajaan perlu suarakan bantahan secara keras kepada China melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan ia perlu dilakukan bersama ahli-ahli gabungan Asean.

KOTA KINABALU: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, tindakan kurang ajar dari ketenteraan China itu adalah merupakan suatu yang serius dan kerajaan perlu menyatakan bantahan keras secara berterusan.

“Ini merupakan satu pencerobohan di kawasan kita, kerajaan perlu suarakan bantahan secara keras kepada China melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan ia perlu dilakukan bersama ahli-ahli gabungan Asean.

“Laut China Selatan merupakan laluan kapal-kapal antarabangsa dan perairan Malaysia di Sabah dan Sarawak merupakan kawasan yang kaya dengan sumber asli seperti minyak dan gas, jadi saya percaya ia merupakan antara motif tindakan biadap dari China ini,” tegasnya ketika dihubungi sebentar tadi.

Sementara itu Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob berkata, insiden pencerobohan perairan negara melibatkan kapal daripada China telah berlaku sejak 2013 dan terdapat peningkatkan aktiviti tersebut sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Abdul Rahman mengulas laporan Utusan Malaysia pada 26 September lalu, yang memetik laporan beberapa portal pertahanan antarabangsa terdapat sejumlah kapal Pengawal Pantai China menceroboh perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.

Insiden itu berlaku selepas tidak sampai 24 jam TUDM melakukan latihan bersama Amerika Syarikat (AS) apabila dua kapal negara itu dengan kod CCG 5202 dan CCG 6307 bertindak biadab memasuki kawasan Sabah yang kaya dengan gas dan minyak mentah berkualiti.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas upacara Penamaan dan Pentauliahan Pusat Latihan Pasukan Khas Laut (PASKAL) kepada Kapal Diraja (KD) Panglima Garang, di Pangkalan TLDM pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Jeffry berkata kerajaan perlu memanggil Duta China di Malaysia untuk memberikan penjelasan berhubung tindakan provokasi itu serta menyatakan bantahan keras kerajaan terhadap isu ini.

“Perlu segera ambil tindakan dan gunakan semua saluran yang ada, saya takut sekiranya kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat mengambil tindakan kita yang di sekeliling ini ‘habis’ (terkesan dengan tindakan ketenteraan).

“Ia bakal melibatkan implikasi antarabangsa, perlu segera nyatakan bantahan di Majlis Keselamatan PBB agar satu pelan tindakan dapat diambil,’ ujarnya lagi.

Comment