Berdasarkan video akad nikah yang dimuat naik di dalam Instagram ahli keluarga SM Faliq, Chryseis sah bergelar isteri kepada SM Faliq hanya dengan sekali lafaz beserta mas kahwin berjumlah RM1,000.

SM Faliq, 33, merupakan anak keempat kepada pengasas Naza Group, Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin manakala Chryseis, 30, pula merupakan anak sulung kepada Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun yang merupakan pengasas Berjaya Group.

SM Faliq dan Chryseis dikatakan mengenali hati budi ma­sing-masing ketika menuntut di sebuah sekolah antarabangsa di ibu kota serta menjalin hubungan yang lebih serius sehingga bertunang pada 2 Julai lalu.

SM Faliq dikatakan melamar Chryseis, 30, ketika mereka ber­dua bercuti bersama-sama di Marrakesh, Maghribi.

Sementara itu, adik perem­puan SM Faliq, Nur Nadia menerusi Instagram miliknya me­muat naik status yang mengalu-alukan kehadiran Chryseis ke dalam keluarga mereka.

“Selamat datang ke dalam keluarga kami.”

Seorang lagi saudara SM Faliq, Nur Diana menerusi Instagram turut mengucapkan tahniah serta mendoakan kedua-dua mempelai mengecapi kebahagiaan sepanjang hayat.

“Perkahwinan yang sangat indah dan kami menikmati setiap masa ia berlangsung.”

Abang SM Faliq, SM Faisal turut mengucapkan tahniah dan memanjatkan kesyukuran di atas perkahwinan berkenaan.

“Alhamdullilah! Keluarga semakin besar! Tahniah kepada kamu berdua!” kata SM Faisal menerusi laman Instagram.

Perkahwinan dua mempelai ini bukan sahaja akan menyatukan dua keluarga jutawan terbesar negara, malah akan membentuk sebuah konglomerat paling besar di Malaysia, khususnya dalam bentuk aset.

Ini mungkin berlaku sekiranya terdapat usaha penyatuan kepentingan korporat antara pihak Naza Group dan Berjaya Group termasuk penggabungan entiti perniagaan kedua-dua syarikat tempatan berkenaan.