Sabah ke arah melandaikan kes jangkitan COVID-19
17:10 Oct 04, 2021  |  By SabahKini2
Sabah ke arah melandaikan kes jangkitan COVID-19

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, pematuhan secara total kepada semua prosedur standard operasi (SOP) dan amalan baik penjagaan kesihatan diri adalah kunci utama kepada kekebalan kita daripada jangkitan virus COVID

KOTA KINABALU: Sabah berada dalam landasan terbaik bagi melandaikan jumlah kes jangkitan COVID-19 berdasarkan data kumulatif harian yang direkodkan sehingga kini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, faktor utama kepada naik atau turunnya jumlah jangkitan kes baharu secara harian adalah berdasarkan sikap diri sendiri.

“Pematuhan secara total kepada semua prosedur standard operasi (SOP) dan amalan baik penjagaan kesihatan diri adalah kunci utama kepada kekebalan kita daripada jangkitan virus COVID-19.

“Pada hari ini, Sabah meneruskan trend penurunan kes harian dimana menurun sebanyak (-90) kes, catatan terendah sejak 24 Julai lalu. Kes yang direkod pada hari ini ialah 677 kes,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Masidi berkata, penurunan secara keseluruhan yang dicatatkan hari ini menunjukkan prestasi yang baik di mana 21 daerah mencatatkan penurunan kes.

Katanya, hanya lima daerah sahaja mencatatkan peningkatan kes dan satu daerah iaitu Kudat kekal dengan catatan kes sebagaimana semalam.

“Hanya tiga  daerah yang mencatatkan kes di atas paras 50 kes iaitu Kinabatangan 107 kes, Kota Kinabalu 94 kes dan Keningau 78 kes.

“Bagi daerah yang mengalami trend penurunan berbanding catatan kes semalam ialah Lahad Datu mencatatkan penurunan tertinggi iaitu sebanyak -35 kes, Kota Kinabalu -18 kes, Putatan -18 kes, Tawau -16 kes, Ranau -15 kes, Kota Marudu -15 kes, Sipitang -13 kes, Nabawan -13 kes, Penampang -13 kes, Pitas -12 kes dan Sandakan -11 kes,” katanya.

Dalam pada itu, Masid berkata, daerah yang mencatatkan peningkatan ketara pada hari ini pula ialah Kinabatangan dengan peningkatan sebanyak +92 kes, Keningau +23 kes dan Papar +14 kes.

Katanya, peningkatan drastik jumlah kes di daerah Kinabatangan adalah berpunca daripada kewujudan dua kluster baru iaitu Kluster Sungai Tabulion dan Kluster Sandau Sawit.

Tambahnya, dua kluster ini sahaja menyumbang 82.2 peratus daripada kes yang direkodkan hari ini di Kinabatangan.

“Pada hari ini juga, tidak ada catatan daftar lewat kes jangkitan baharu yang melebihi 5 hari.

“Jika diperhatikan data pada hari ini, hanya 384 kes atau 56.72 peratus daripada kumulatif harian Negeri Sabah adalah catatan kes yang berlaku dalam masa 24 jam yang lalu. Selebihnya adalah kes-kes daftar lewat antara dua hingga lima hari,” katanya.

Tambahnya, berdasarkan kepada statistik pengkategorian kes-kes jangkitan COVID-19 pada hari ini, 87.74 peratus daripada kes jangkitan hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2, manakala hanya enam kes Kategori 3, empat kes Kategori 4 dan empat kes Kategori 5. Lazimnya, pesakit-pesakit kategori 1 dan 2 tidak memerlukan rawatan di hospital.-SM

Comment