Sabah merekodkan 9 kes kematian kerana COVID-19 semalam
12:10 Oct 05, 2021  |  By SabahKini2
Sabah merekodkan 9 kes kematian kerana COVID-19 semalam

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, 4 kes berlaku di Kota Kinabalu dan masing-masing satu kes di Keningau, Beluran, Tawau, Tenom dan Sandakan.

KOTA KINABALU: Sebanyak 9 kes kematian disebabkan COVID-19 dilaporkan pada 4 Oktober 2021.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, 4 kes berlaku di Kota Kinabalu dan masing-masing satu kes di Keningau, Beluran, Tawau, Tenom dan Sandakan. 

"Bilangan kematian ini tidak semestinya berlaku dalam tempoh 24 jam ini. Ada kes kematian yang mengambil masa untuk verifikasi dan dilaporkan kemudian daripada tarikh sebenar," katanya semalam.

Dalam pada itu katanya, bilangan pesakit COVID-19 sembuh ialah 1,900 menjadikan jumlah kumulatif 185,594 orang.

Menurutnya, Sabah turut merekodkan dua kluster baharu yang melibatkan tempat kerja. Kluster Sungai Tabulion dan Kluster Sandau Sawit adalah bertempat di lokaliti Kinabatangan.

"Kluster Sungai Tabulion dikesan berlaku di tempat kerja iaitu di Ladang Sawit Malbumi Gedau, Kinabatangan. 

"Kes indeks merupakan pekerja pembersihan, wanita, 52, bukan warganegara yang mula bergejala pada 17 September 2021.

"Aktiviti persampelan kontak seterusnya mendapati seramai 62 orang kontak sosial, pekerja dan tanggungan positif COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif kes positif dalam kluster ini sebanyak 63 kes," katanya.

Manakala katanya, Kluster Sandau Sawit berlaku kilang sawit di daerah Kinabatangan. Kes indeks adalah pemandu kilang lelaki, 30, warganegara Indonesia yang dikesan positif COVID-19 pada 29 September 2021.

Katanya, aktiviti persampelan kontak seterusnya mendapati seramai 27 orang kontak sosial, pekerja telah didapati positif COVID-19.

Comment