Pemandu pacuan empat roda maut, istri dan anak selamat
14:10 Oct 05, 2021  |  By SabahKini2
Pemandu pacuan empat roda maut, istri dan anak selamat

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, mangsa berusia 48 tahun mengalami kecederaan parah sebelum meninggal dunia, manakala isteri dan anaknya berusia 44 dan 25 tahun terselamat.

BEAUFORT: Pemandu pacuan empat roda maut manakala isteri dan anaknya terselamat selepas kenderaan yang dinaiki terbabas serta terbalik dalam kejadian di Kampung Poring, Membakut, semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa dikenali sebagai Ambros Sinting, berusia 48 tahun parah sebelum disahkan meninggal dunia manakala isteri serta anaknya berusia 44 dan 25 tahun tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, kemalangan membabitkan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser yang dipandu mangsa.

Katanya, siasatan awal mendapati, semua mangsa dalam perjalanan dari Kampung Ulu Lumagar, Bongawan, menuju ke pekan Membakut.

"Sebaik tiba di lokasi, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke sebelah kiri jalan dan terbalik.

"Akibat kejadian itu, mangsa yang parah disahkan meninggal dunia oleh petugas Klinik Kesihatan Membakut," katanya.

Yusoff Zaki berkata, mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Beaufort dan proses bedah siasat akan dijalankan selepas keputusan ujian calitan Covid-19 diperoleh.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Comment