Peningkatan saringan punca kenaikan kes baharu COVID-19 di Sabah
15:10 Oct 05, 2021  |  By SabahKini2
Peningkatan saringan punca kenaikan kes baharu COVID-19 di Sabah

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, status dan statistik pendaftaran kes-kes yang diumumkan hari ini menunjukkan cuma 611 kes daripada 805 kes adalah kes berlaku sepanjang 24 jam yang lalu.

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan penambahan kes baharu COVID-19 hari ini iaitu sebanyak 805 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, lonjakan kes berkenaan adalah disebabkan peningkatan saringan ke atas mereka yang bergejala dan kontak rapat.

"Walaupun terdapat peningkatan kes baharu, tetapi semua daerah tidak mencatatkan tiga angka.

"Peningkatan kes itu juga selari dengan jumlah daerah yang merekodkan kenaikan kes iaitu di 18 daerah. Hanya lapan daerah merekodkan penurunan kes dan satu daerah iaitu Kudat kekal dengan catatan semalam," katanya.

Beliau berkata, Ranau merekodkan jumlah kes tertinggi hari ini iaitu sebanyak 87 kes dengan lonjakan 46 kes.

Katanya, daerah lain yang mencatatkan peningkatan kes dengan ketara ialah Kota Marudu 42 kes, Lahad Datu 37 kes, Pitas 34 kes, Tambunan 27 kes, Beaufort 26 kes, Putatan 19 kes, Kota Belud 14 kes, Sandakan 12 kes, Kunak 11 kes dan Sipitang 10 kes.

"Daerah yang mencatatkan penurunan tertinggi ialah Kinabatangan 97 kes, Papar 29 kes, Kota Kinabalu 19 kes, Keningau 19 kes dan Penampang 13 kes.

"Pada hari ini dapat dilihat perbandingan kes yang ketara di Kinabatangan berbanding 4 Oktober 2021. 

"Faktor yang mempengaruhi dapatan tersebut ialah kewujudan dua kluster baharu di daerah itu yang didaftar semalam," katanya.

Beliau berkata, status dan statistik pendaftaran kes-kes yang diumumkan hari ini menunjukkan cuma 611 kes daripada 805 kes adalah kes berlaku sepanjang 24 jam yang lalu.

Katanya, 90.81 peratus daripada jumlah kes semalam adalah Kategori 1 dan 2 yang lazimnya hanya memerlukan rawatan kendiri dirumah sahaja atau di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC). 

"Terdapat enam kes dalam Kategori 3, empat kes dalam Kategori 4 dan satu kes dalam Kategori 5.

"Sabah juga tidak merekodkan sebarang kluster baharu hari ini," katanya lagi.

1 Comment