Cuai Ketika memandu, 4 kenderaan terlibat kemalangan
14:10 Oct 07, 2021  |  By SabahKini2
Cuai Ketika memandu, 4 kenderaan terlibat kemalangan

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, pacuan empat roda berkenaan terbalik dan semua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tersebut mengalami kerosakan.

TAWAU: Seorang lelaki yang memandu pacuan empat roda telah menyebabkan kemalangan melibatkan 4 buah kenderaan kerana kecuaiannya di Jalan Dunlop, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan tersebut kira-kira jam 3.15 petang.

Katanya, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kenderaan pacuan empat roda berkenaan dari arah batu 3 menuju ke bandar Tawau.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu terbabit yang cuba mengubah laluan ke sebelah kiri telah mengesan sebuah lori di lorong tersebut sebelum kembali ke laluan kanan.

“Namun, pacuan roda tersebut telah melanggar belakang sebuah motakar yang berada di lorong kanan,” katanya semalam.

Antara kenderaan yang terlibat dalam kemalangan

Menurutnya, impak pelanggaran itu, dua lagi kenderaan turut mengalami kerosakan kerana terlibat dalam kemalangan tersebut.

“Pacuan empat roda berkenaan terbalik dan semua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tersebut mengalami kerosakan.

“Bagaimanapun semua pemandu yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan dan tidak disyaki memandu dalam keadaan mabuk,” katanya.

Peter berkata, siasatan mendapati kejadian tersebut berpunca daripada pemandu pacuan empat roda terbabit cuai kerana memotong secara berbahaya.

“Pihak polis masih menjalankan siasatan dan kes disiasat mengikut Rule 6 LN 166/59,”katanya.

Comment