UPKO terus berjuang memartabatkan Bahasa Kadazandusun- Tangau
05:02 Feb 03, 2018  |  By SabahKini2
UPKO terus berjuang memartabatkan Bahasa Kadazandusun- Tangau

Banyak kejayaan tercapai hasil daripada kegigihan dan perjuangan berterusan yang melibatkan UPKO secara langsung dalam hal ini, termasuklah seperti kejayaan memperkenalkannya sebagai salah satu mata pelajaran bahasa yang tersenarai dalam kurikulum pendidi

TAMPARULI: Usaha-usaha parti UPKO dalam memartabatkan serta memelihara Bahasa Kadazandusun tidak akan terhenti kerana ia telah diperjuangkan buat sekian lamanya oleh parti itu.

Pemangku Presidennya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, masyarakat Kadazandusun pernah berdepan dengan ancaman kepupusan bahasa ibunda mereka disebabkan kebanyakan generasi mudanya tidak lagi bertutur dalam bahasa itu.

Namun kini ianya tidak lagi menjadi isu setelah Bahasa Kadazandusun diperkenalkan sebagai antara mata pelajaran bahasa yang diajarkan di sekolah.

UPKO terus menjuarai memartabat Bahasa Kadazandusun

Walaupun telah banyak kejayaan tercapai hasil daripada kegigihan dan perjuangan berterusan yang melibatkan UPKO secara langsung dalam hal ini, termasuklah seperti kejayaan memperkenalkannya sebagai salah satu mata pelajaran bahasa yang tersenarai dalam kurikulum pendidikan, beliau menegaskan bahawa masih banyak perkara lagi yang perlu dilakukan.

"Memelihara khazanah warisan dan budaya momogun, yang juga meliputi bahasa ibunda kita ini, merupakan salah satu daripada tujuh ideologi UPKO, dan kami akan terus berusaha untuk memastikan budaya turun temurun Kadazandusun ini tidak akan hilang," jelas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu.

Tangau yang juga merupakan Ahli Parlimen Tuaran begitu gembira melihat sambutan yang cukup menggalakkan daripada guru-guru pelatih dari kolej-kolej dan juga sekolah menengah yang mengambil bahagian dalam Seminar Mengenai Budaya, Bahasa dan Kesusasteraan Kadazandusun itu, yang dianjurkan oleh Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Perak di SMK Tamparuli di sini Khamis lalu.

"Ini sangat bersesuaian dengan matlamat untuk memastikan agar generasi masa depan kita tidak melupai bahasa ibunda mereka," katanya sambil memuji pensyarah kanan UPSI bagi bahasa Kadazandusun, Dr Rosliah Kiting atas usaha beliau menganjurkan seminar tersebut.

Untuk rekod, pengajaran bahasa Kadazandusun di UPSI Perak telah dilancarkan oleh mantan presiden UPKO, Tan Sri Bernard Dompok.

"Kami di UPKO akan sentiasa memberikan sokongan penuh serta membantu semampu yang boleh sekiranya diperlukan," katanya semasa merasmikan seminar tersebut.

Menurut Tangau lagi, 57 daripada 75 sekolah rendah dan 5 daripada 11 sekolah menengah di kawasannya menawarkan subjek tersebut sejak Bahasa Kadazandusun diperkenalkan ke dalam kurikulum pendidikan.

Dan setakat ini, seramai 55,566 orang murid dari 384 sekolah rendah mengambil subjek bahasa Kadazandusun di seluruh negara, yang turut melibatkan 1,100 orang guru.

Manakala seramai 4,416 orang pelajar yang mengambil subjek ini di 45 sekolah menengah, yang melibatkan seramai 94 orang tenaga pengajar.

Di peringkat institut pengajian tinggi pula, UPSI kini mempunyai 143 siswazah dan telah menghasilkan seramai 97 orang graduan untuk mengajar bahasa Kadazandusun ini.

Di Institut Pendidikan Guru di Tuaran ini iaitu IPG Kent, kini mempunyai 55 orang siswazah di bawah 7 orang pensyarah dan setakat ini IPG itu telah berjaya menghasilkan 18 orang graduan yang sudah berada dalam senarai interim.

Bagi IPG Keningau, kini ia mempunyai 45 siswazah di bawah 3 pensyarah bagi subjek Bahasa Kadazandusun.

Tangau berkata Bahasa Kadazandusun juga telah dijadikan sebagai subjek bahasa elektif kepada pelajar-pelajar antarabangsa di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Selain daripada itu, beliau juga bersetuju dengan salah seorang penceramah utama dalam seminar itu, iaitu Fidelis Sipangkui yang dalam ceramahnya telah menyeru agar guru-guru Bahasa Kadazandusun ini diberikan akreditasi/pengiktirafan profesional.

"Ini akan memberi lebih banyak ummph kepada guru-guru," katanya.

Tangau juga menggalakkan guru-guru yang mengajar Bahasa Kadazandusun itu untuk menulis lebih banyak artikel atau sebarang bentuk penulisan mengenai subjek tersebut. Tulisan mereka itu tidak semestinya bercetak, sebaliknya mereka juga boleh menggunakan platform dalam talian seperti blog dan sebagainya.

Menurut beliau, ini pastinya akan dapat membantu memastikan lebih banyak sumber boleh didapati yang menyediakan bahan-bahan yang kredibel ataupun boleh dipercayai berkaitan bahasa tersebut, untuk digunakan oleh sesiapa sahaja yang berminat mempelajarinya ataupun yang berhasrat melakukan kajian dan penyelidikan mengenainya.

Dalam seminar itu, seramai lapan penyelidik Bahasa Kadazandusun ataupun yang digelar sebagai Bolongkitas telah membentangkan kertas kerja mereka masing-masing. Mereka ialah Benedict Topin, Raymond Majumah, Rusinah Sinteh, Lina Bagu, Satiamah Sahat, George, Dr Rosliah dan Sipangkui.

45 Comments