Adun Sindumin Dr Yusof sah keluar Warisan bersama AJK Bahagian
14:10 Oct 08, 2021  |  By SabahKini2
Adun Sindumin Dr Yusof sah keluar Warisan bersama AJK Bahagian

Selepas berteka-teki akhirnya ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob, hari ini mengumumkan keluar daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN) untuk menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong kerajaan.

Seminggu berteka-teki akhirnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob, hari ini mengumumkan keluar daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN) untuk menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong kerajaan.

Pengumuman itu yang dibuat dalam satu sidang media di sini disertai beberapa Ketua Penerangan dan Ahli Jawatankuasa Bahagian WARISAN Sipitang.

Dr Yusof menjelaskan keputusan itu dibuat atas kehendaknya sendiri tanpa paksaan atau dorongan daripada mana-mana pihak.

Bekas Ketua Penerangan Warisan itu berkata, beliau tidak mahu terus berpolitik sejajar nasihat Yang di-Pertuan Agong dan Yang di-Pertua Negeri Sabah meminta semua pemimpin bekerjasama tanpa mengira politik bagi memerangi pandemik COVID-19 dan membantu rajyat seperti dizahirkan dalam pembukaan persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, baru-baru ini.

"Jadi, mematuhi kepada nasihat baginda Yang di-Pertuan Agong dan Yang di-Pertua Negeri Sabah, maka saya sebagai ADUN Sindumin memilih untuk bekerjasama memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan Pusat.

"Saya juga memberi sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor dan kerajaan Sabah demi kepentingan rakyat, untuk kestabilan politik negeri dan negara walaupun sumbangan saya ini kecil.

"Keputusan ini saya buat sendiri, bukan tekanan sesiapa. Keputusan saya atas pertimbangan untuk membolehkan saya memberi tumpuan kepada kerjasama dengan kerajaan dan berkhidmat kepada rakyat di Sindumin," katanya.

Beliau berkata, keputusannya untuk meninggalkan WARISAN juga sudah dimaklumkan kepada Presiden parti, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Dr Yusof mengakui beliau dipujuk supaya tidak meninggalkan parti namun beliau tetap dengan pendirian dan hala tuju sendiri kerana memikirkan nasib rakyat di kawasan yang diwakilinya.

Katanya, jika berterusan dalam parti pembangkang, beliau sukar bekerjasama dengan pemimpin atau pegawai kerajaan yang bertanggungjawab terhadap masalah dihadapi rakyat di kawasannya.

"Kalaupun saya boleh berjumpa dengan orang kerajaan, situasinya tidak selesa selain boleh menimbulkan fitnah. Jadi, lebih baik saya menjadi ADUN Bebas supaya saya boleh berjumpa dengan sesiapa saja.

"Keutamaan saya ialah untuk memastikan rakyat di DUN Sindumin mendapat pembelaan yang sewajarnya kerana itu yang diharapkan oleh rakyat terhadap wakil rakyat," katanya.

Dr Yusof turut membayangkan ini adalah penggal terakhir beliau menjadi wakil rakyat dan oleh itu beliau tidak mahu tempoh empat tahun lagi sebagai wakil rakyat disia-disiakan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 2018, Yusof, 66, menang kerusi DUN Sindumin dengan majoriti 760 undi dalam saingan tiga penjuru, sebelum mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16, tahun lalu dengan majoriti 424 undi dalam saingan enam penjuru.

Sementara itu kejutan yang dibuat Yusof ialah beberapa Ketua Penerangan Bahagian WARISAN iaitu dari Lahad Datu, Tawau, Beluran, Kudat, Sipitang dan Sepanggar serta Ahli Jawatan Kuasa (AJK) dari Kimanis dan Beaufort selain 15 AJK Bahagian Sipitang yang diketuainya turut bersama beliau.

Ditanya sama ada pemimpin lain turut menyusul selepas ini, katanya beliau tidak berkempen kepada mana-mana pemimpin untuk menyertainnya atau membubarkan mana-mana bahagian WARISAN.

Dengan perkembangan terbaru itu, WARISAN yang memenangi 23 kerusi DUN pada pilihan raya negeri, kini tinggal 20 kerusi selepas ADUN Bugaya, Manis Muka Mohd Darah meninggal dunia November tahun lalu dan ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir keluar parti pada Februari lalu.

Apakah benar 15 Adun yang didesas-desuskan akan keluar parti semua ini pasti akan terjawab pada masa depan.

Bagi pemimpin dan portal Warisan mereka melaporkan keluarnya Dr Yusof kerana berdepan dengan tekanan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Bagaimanapun kenyataan ini tidak dapat dibuktikan. Jika benar dakwaan itu yang sepatutnya diambil tindakan ialah Fred Gabriel Pengerusi SabahNet orang kuat Warisan. 

 

 

22 Comments