Seramai 141,000 penduduk Tawau Kalabakan belum divaksin
14:10 Oct 18, 2021  |  By SabahKini2
Seramai 141,000 penduduk Tawau  Kalabakan belum divaksin

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata jumlah itu termasuk penduduk tempatan dan rakyat asing yang menetap di daerah ini. Untuk permulaan, kita sasarkan satu di kawasan bandar iaitu pasaraya Bataras dan tiga di pendalama

TAWAU: Seramai 141,000 penduduk di daerah Tawau dan Kalabakan masih belum menerima suntikan vaksin COVID-19 sehingga hari ini.

Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menerusi pasukan Rapid Assessment and Vaccination Operation (RAVO) komited mengesan mereka yang belum divaksin di seluruh negeri Sabah.   

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata jumlah itu termasuk penduduk tempatan dan rakyat asing yang menetap di daerah ini.

“Pasukan RAVO yang terdiri daripada kakitangan JKNS dan Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Tawau sedang giat menjalankan program outreach di daerah ini terutamanya di kawasan pendalaman.

“Untuk permulaan, kita sasarkan satu di kawasan bandar iaitu pasaraya Bataras dan tiga di pendalaman termasuklah kampung dan ladang Serudung Laut serta Teck Guan Serudung,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan pelepasan pasukan RAVO ke pendalaman Serudung Laut di Klinik Kesihatan Tawau.

Rose Nani berkata pihaknya tetap bertekad untuk menjalankan outreach di kawasan Serudung Laut walaupun kedudukannya sangat jauh di pendalaman bagi menjejaki penduduk yang belum divaksin.

“Seramai 31 anggota terlibat dalam pasukan RAVO tersebut yang terdiri pakar kesihatan awam, doktor daripada Klinik Kesihatan dan Hospital Tawau serta jururawat.

“Selain itu, pasukan itu turut dibantu oleh kakitangan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac),” katanya.

Menurutnya, sasaran outreach itu adalah seramai 2,000 orang termasuk penduduk tempatan dan pekerja ladang bukan warganegara.

“Pasukan RAVO juga akan bergerak ke 21 lokasi di daerah Tawau dan Kalabakan dalam tempoh satu minggu khususnya di kawasan yang kadar vaksinasinya masih rendah.

“Inisiatif itu diharap dapat memberikan vaksin kepada seluruh penduduk yang berumur 12 tahun ke atas sehingga boleh mencapai 100 peratus kadar vaksinasi di daerah ini,” katanya.

Katanya, outreach ke kawasan pendalaman menerusi pasukan RAVO juga akan dijalankan di Kinabatangan, Tongod, Nabawan dan daerah lain yang masih rendah kadar vaksinasinya.

Sementara itu, katanya, petugas kesihatan dan sukarelawan yang di tempatkan di pasaraya akan memberikan perkhidmatan langsung di kawasan tersebut.

“Saya berharap penduduk di kawasan bandar yang belum divaksin supaya dapat datang ke pasaraya Bataras untuk menerima vaksin dengan kadar segera,” katanya.

Comment