Pekerja ladang sanggup berhujan demi vaksin Covid-19
16:10 Oct 20, 2021  |  By SabahKini2
Pekerja ladang sanggup berhujan demi vaksin Covid-19

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata projek RAVO dan aktiviti ‘outreach’ lain dilaksanakan kerana menyedari masih ada penduduk di pedalaman yang belum divaksin.

KALABAKAN: 7 pekerja Ladang Serudung sanggup berhujan dan menunggu di tepi jalan semata-mata untuk mendapatkan vaksin COVID-19.

Mendengar ada pasukan projek Penilaian Pantas dan Operasi Vaksinasi (RAVO) kendalian Jabatan Kesihatan Negeri Sabah memasuki ladang itu untuk menjalankan vaksinasi terhadap penduduk, mereka segera keluar dari rumah serta menunggang motosikal selama 30 minit sebelum berhenti dan menunggu di tepi Jalan Branko Serudung.

Pasukan RAVO yang terlihat kelibat ketujuh-tujuh pekerja kemudian bertindak menghentikan kenderaan dan bertanya beberapa soalan sebelum memberikan suntikan vaksin kepada mereka.

Antaranya Wati Lancang, 45, yang sebelum ini tidak dapat menerima vaksinasi kerana menghidap penyakit darah tinggi. 

“Pada Ogos, saya ada cuba datang ke pusat pemberian vaksin (PPV) Sekolah Kebangsaan Kalabakan tapi tidak boleh diberi vaksin kerana ada penyakit, jadi lama saya tunggu vaksin ini, ada masa saya risau (dijangkiti) COVID-19 ini dan saya takut kerana belum ada vaksin, sekarang selepas dapat vaksin, saya senang hati,” katanya semalam.

Arif Appte, 45, pula berterima kepada petugas kesihatan kerana memudahkan penduduk di kawasan ladang yang terletak jauh dari bandar mahupun PPV. 

“Ada RAVO ini lagi menyenangkan kami, mereka masuk (ke) kawasan (ladang) dan saya tidak perlu pergi jauh atau mengeluarkan perbelanjaan lagi, saya tidak kisah disuntik di tepi jalan daripada tidak dapat vaksin,” katanya. 

Bagi Riska Hamzah, 27, dia terpaksa memberanikan diri kerana sebelum ini dia takut disuntik selain terpengaruh dengan dakyah negatif mengenai vaksin COVID-19. 

“Mendapat maklumat tepat mengenai vaksin serta melihat rakan serta keluarga juga sudah menerima vaksinasi maka saya pun pujuk diri untuk beranikan diri ambil vaksin,” katanya.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata projek RAVO dan aktiviti ‘outreach’ lain dilaksanakan kerana menyedari masih ada penduduk di pedalaman yang belum divaksin.

“(Kami sanggup) walaupun terpaksa meredah hutan dan menempuh perjalanan sehingga lima jam masuk satu kawasan hari ini kerana kita tahu masih ada yang di pedalaman ini tercicir vaksinasi atas faktor kesihatan,” katanya sambil menambah seramai 141,000 penduduk Tawau dan Kalabakan dikesan belum divaksin.

Beliau berkata projek RAVO, dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat termasuk sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteer (MyVac), akan dilaksana selama seminggu di Tawau bermula semalam.

Program itu melibatkan 21 lokaliti termasuk Ladang Serudung serta Kampung Serudung Laut dan selepas itu diteruskan di Kinabatangan, Tongod dan Nabawan.

Comment