Sabah merekodkan 651 kes COVID-19 baharu
16:10 Oct 21, 2021  |  By SabahKini2
Sabah merekodkan 651 kes COVID-19 baharu

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, antara daerah yang merekodkan peningkatan ketara adalah Beaufort bertambah sebanyak 38 kes, Kudat 35 kes, Lahad Datu 22 kes, Tawau 20 kes, Papar 16 kes, Kota Belud 15 kes, Keningau dan B

KOTA KINABALU: Sabah sekali lagi menunjukkan peningkatan mendadak sehingga mencatatkan 651 kes baharu semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, peningkatan tinggi sebanyak 225 kes disebabkan oleh faktor pertambahan kes di 22 daerah di Sabah.

“Antara daerah yang merekodkan peningkatan ketara adalah Beaufort bertambah sebanyak 38 kes, Kudat 35 kes, Lahad Datu 22 kes, Tawau 20 kes, Papar 16 kes, Kota Belud 15 kes, Keningau dan Beluran masing-masing 13 kes serta Sipitang 10 kes.

“Seluruh kawasan bandar utama juga merekodkan peningkatan kes kecuali Penampang bagaimanapun tiada daerah yang mencatatkan kes pada paras tiga angka dan hanya dua daerah yang mencatatkan kes harian melebihi paras 50 kes,” katanya.

Tambahnya lima daerah menunjukkan penurunan dan Pitas merekodkan penurunan ketara sebanyak 15 kes.

Masidi turut berkata selepas beberapa tempoh, Sabah sekali lagi mencatatkan dua kluster baharu yang dikesan di Beaufort iaitu Kluster Kampung Bawan dan Kluster Kampung Batu 66.

“Kluster Kampung Bawan adalah kluster yang berpunca dari tempat kerja dan setakat ini menjangkiti 34 orang.

“Kluster Kampung Batu 66 adalah kluster komuniti yang sudah menjangkiti 29 orang setakat ini bagaimanapun kedua-dua kluster ini tidak mempengaruhi peningkatan kes yang direkodkan hari ini (semalam),” katanya.

Beliau berkata 228 kes atau 35.02 peratus daripada kes keseluruhan adalah daripada Saringan Bergejala yang sinonim kepada kes sporadik. 

“Meskipun kes harian yang dilaporkan adalah tinggi berbanding hari sebelumnya, hanya 400 kes bersamaan 61.44 peratus adalah kes yang berlaku dalam tempoh 24 jam yang manakala kes selebihnya adalah kes yang didaftar lewat dua hari atau lebih lama selepas keputusan saringan diketahui.

“94.93 peratus daripada kes yang direkodkan adalah dalam kategori ringan yang hanya memerlukan rawatan dan penilaian di rumah dan empat kes bagi kategori tiga diikuti lapan kes bagi kategori empat dan empat kes bagi kategori lima,” katanya sambil menambah 18 kes masih dalam penilaian.

Comment