Yusof kekal ADUN Sindumin, Warisan gigit jari lagi
23:10 Oct 25, 2021  |  By SabahKini2
Yusof kekal ADUN Sindumin, Warisan gigit jari lagi

Seperti juga Adun Sebatik Speaker DUN Sabah, Kadzim M Yahya berkata, kedudukan bekas Ketua Penerangan Warisan Yusof Yacob sebagai ADUN Sindumin masih kekal. Yusof tidak pernah meletak jawatan

Speaker DUN Sabah, Kadzim M Yahya berkata, kedudukan bekas Ketua Penerangan Warisan Yusof Yacob sebagai ADUN Sindumin masih kekal.

Dalam kenyataan, Kadzim berkata, kerusi DUN Sindumin tidak akan dikosongkan walaupun Yusof bukan lagi ahli Warisan selepas mengumumkan keluar parti itu pada 8 Okt lalu.

“Pada 8 Okt, Yusof mengisytiharkan keluar daripada Warisan dan menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong kerajaan GRS (Gabungan Rakyat Sabah) yang dipimpin Ketua Menteri Hajiji Noor.

“Pada hari sama, beliau telah memaklumkan kepada saya mengenai keputusannya itu menerusi panggilan telefon dan kemudian memohon bertemu dengan saya di pejabat. Pertemuan itu berlangsung pada 11 Okt kira-kira jam 11.20 pagi.

“Dalam pertemuan itu, Yusof mengemukakan kepada saya satu deklarasi berkanun yang menyatakan antara lain bahawa dia membatalkan semua janji yang telah dibuatnya dengan Warisan sebelum pilihan raya pada 2020 berlangsung.

“Ia termasuk janji untuk mengosongkan kerusi DUN N35 Sindumin sekiranya dia meninggalkan Warisan,” katanya.

Kadzim berkata, pada 15 Okt beliau telah menerima surat peletakan jawatan oleh Yusof, kononnya bertarikh 8 Okt daripada firma guaman yang mendakwa dilantik oleh Yusof.

Katanya, Yusof kemudian menegaskan yang beliau tidak menghantar surat terbabit dan seterusnya mengemukakan satu lagi perisytiharan berkanun pada 16 Okt yang mengatakan beliau tidak pernah menandatangani surat peletakan jawatan itu.

“Surat bertarikh 8 Okt seperti dikemukakan oleh firma guaman itu menyatakan Yusof telah meletak jawatan sebagai ADUN Sindumin dan saya juga telah menerima tiga dokumen daripada Yusof dan dua dokumen daripada parti Warisan atau ejennya.

“Bagi menentukan status kerusi N35 Sindumin, saya telah menelitinya berpandukan kepada dokumen-dokumen yang telah dikemukakan kepada saya dan mengadakan mesyuarat pada 11 Okt. Keputusan dibuat berdasarkan undang-undang yang mana kesnya sama dengan ADUN Sebatik (Hassan A Gani Pg Amir) sebelum ini yang juga meninggalkan parti Warisan.

“Sehubungan itu, berdasarkan penjelasan di atas, walaupun Yusof bukan lagi ahli Warisan, kerusi DUN Sindumin tidak dikosongkan walaupun telah mengisytiharkan keluar Warisan dan sehubungan itu, Yusof kekal sebagai ADUN Sindumin,” katanya.

1 Comment