Saringan bergejala penyumbang kes COVID-19
14:10 Oct 29, 2021  |  By SabahKini2
Saringan bergejala penyumbang kes COVID-19

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, antaranya Kota Marudu 31 kes daripada 45 kes dan Kudat 18 kes daripada 31 kes. Beberapa daerah lain turut mencatatkan peningkatan kes melalui saringan bergejalan ialah Ranau 25 kes, Pita

KOTA KINABALU: Jumlah kes berpunca daripada saringan bergejala terus meningkat dan hari ini mencatatkan 41.4 peratus daripada keseluruhan jumlah iaitu 589 kes baharu COVID-19 di Sabah. 

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, terdapat daerah-daerah di Sabah kes positif yang direkodkan melalui saringan bergejala melebih 50 peratus daripada kes daerah berkenaan.

"Antaranya Kota Marudu 31 kes daripada 45 kes dan Kudat 18 kes daripada 31 kes. Beberapa daerah lain turut mencatatkan peningkatan kes melalui saringan bergejalan ialah Ranau 25 kes, Pitas 11 kes, Penampang 15 kes dan Tuaran 10 kes. 

"Kesemua daerah ini mencatatkan kes jangkitan secara sporadik yang agak tinggi," katanya.

Beliau menjelaskan, kes-kes sporadik lazim dikaitkan dengan kegagalan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) atau tahap pematuhan SOP yang rendah.

Dalam pada itu katanya, Kota Kinabalu merekodkan peningkatan kes COVID-19 sebanyak 16 kes.

"Penambahan kes juga melibatkan daerah seperti Keningau yang meningkat sebanyak 15 kes, Kota Marudu 12 kes, Kudat 12 kes, Kota Belud 11 kes dan Penampang 11 kes.

"Hanya dua daerah yang menunjukkan penurunan ketara iaitu Ranau 51 kes dan Beaufort 38 kes," katanya.

Beliau berkata, hari ini tidak ada kes lewat daftar keputusan ujian saringan COVID-19 melebihi lima hari direkodkan.

Bagaimanapun katanya, terdapat lima kes lewat daftar diantara empat sehingga lima hari. 

"Sebanyak 224 kes merupakan kes lewat daftar antara dua sehingga tiga hari selepas keputusan saringan diketahui. Antaranya Kota Kinabalu dengan 56 kes lewat daftar, Kota Belud 33 kes, Tenom 24 kes, Penampang dan Lahad Datu masing-masing 22 kes.

"Sejumlah 360 kes lagi merupakan kes yang berlaku dan didaftar dalam tempoh 24 jam yang lalu," katanya.

Menurutnya, Sabah mengekalkan peratusan tinggi pesakit-pesakit COVID-19 dalam kategori yang dianggap tidak serius. 

Katanya, lebih 97 peratus daripada keseluruhan kes hari ini hanya dalam Kategori 1 dan 2. Dua kes dalam Kategori 3, dua kes dalam Kategori 4 dan satu kes dalam Kategori 5. Sejumlah 12 kes lagi masih dalam penilaian Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.

Comment