Sabah merekodkan 650 kes baharu COVID-19
16:10 Oct 30, 2021  |  By SabahKini2
Sabah merekodkan 650 kes baharu COVID-19

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, statistik menunjukkan jumlah daerah yang mencatatkan penurunan dan peningkatan kes adalah sama.

KOTA KINABALU: Sabah terus mencatatkan peningkatan kes COVID-19 mencecah 650 kes baharu berbanding hanya 589 kes semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, statistik menunjukkan jumlah daerah yang mencatatkan penurunan dan peningkatan kes adalah sama.

“Bilangan daerah yang mencatatkan peningkatan ketara agak banyak iaitu Tuaran bertambah 49 kes, Kinabatangan 40 kes, Beaufort 36 kes, Kota Belud 18 kes, Tawau 18 kes, Sandakan 11 kes dan Putatan 10 kes. 

“Daerah yang mencatatkan penurunan ialah Kudat berkurang 24 kes, Tenom 21 kes, Kota Kinabalu 19 kes, Tambunan 12 kes dan Lahad Datu 11 kes.

“Kinabatangan dan Tawau serta pantai timur Sabah menunjukkan kawalan penularan virus COVID-19 yang baik dengan jumlah jangkitan yang sedikit,” katanya.

Masidi berkata tiada kes lewat daftar keputusan ujian saringan COVID-19 melebihi lima hari yang direkodkan bagi keputusan semalam.

“392 kes atau 60.3 peratus adalah kes yang berlaku dan didaftar dalam tempoh 24 jam lalu, 244 kes lagi adalah kes lewat daftar antara dua hingga tiga hari dan selebihnya adalah kes lewat daftar antara empat hingga lima hari. 

“Keputusan ini menunjukkan satu petanda bahawa sistem pendataan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) bertambah baik berbanding sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata pemerhatian menunjukkan Sabah sedang melalui trend peningkatan berdasarkan penilaian melalui graf kes harian bagi tempoh 14 hari yang lalu. 

“Keputusan ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan dengan mengambil kira kelonggaran pelbagai aktiviti ekonomi dan sosial serta tahap pematuhan SOP yang mula menurun dalam kalangan penduduk.

“Oleh itu masyarakat diingatkan sekali lagi bahawa keperluan mematuhi semua SOP walaupun sudah lengkap divaksin adalah penting dan vaksin tidak menjadikan kita kebal daripada jangkitan. 

“Kes baharu setiap hari juga menunjukkan secara purata 60 peratus daripada semua jangkitan harian adalah dalam kalangan mereka yang sudah menerima vaksin lengkap,” katanya.

Dalam pada itu katanya keberkesanan vaksin dapat dilihat daripada statistik harian pesakit iaitu 95.4 peratus daripada keseluruhan kes hari ini berada dalam Kategori satu dan dua iaitu pesakit yang tidak perlu rawatan di hospital. 

“Dua kes berada dalam Kategori tiga, empat kes dalam Kategori empat dan jumlah sama dalam Kategori lima manakala 20 kes lagi masih dalam penilaian JKNS,” katanya.

Comment