Kenderaan SUV kemalangan di Jalan Kem Lok Kawi Putatan
13:11 Nov 03, 2021  |  By SabahKini2
Kenderaan SUV kemalangan di Jalan Kem Lok Kawi Putatan

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, kejadian berlaku jam 5.57 pagi membabitkan pemandu lelaki berumur 30 tahun. Semasa bergerak dari Putatan menuju ke Lok Kawi kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas m

PENAMPANG: Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) terbakar selepas terbabas di Jalan Kem Lok Kawi Putatan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, kejadian berlaku jam 5.57 pagi membabitkan pemandu lelaki berumur 30 tahun.

“Semasa bergerak dari Putatan menuju ke Lok Kawi kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke longkang pembahagi jalan.

“Sebaik mendapat panggilan jam 5.57 pagi sepasukan anggota dan pegawai digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi pemadaman,” katanya.

Katanya semasa ketibaan pasukan bomba api sudah memusnahkan keseluruhan kenderaan berkenaan dan pasukan bomba memadamkan api menggunakan sumber air dari jentera bomba.

Menurutnya api berjaya dikawal jam 6.26 pagi dan tiada kecederaan yang dilaporkan dalam kejadian ini.

Tambahnya operasi keseluruhan ditamatkan jam 6.41 pagi selepas pasukannya memastikan tiada punca bahaya lain di lokasi.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata Pasukan Unit Kereta Peronda (MPV) Balai Polis Putatan digerakkan ke lokasi bagi mengawal lokasi kejadian sebaik mendapat maklumat dari Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang pada jam 6.25 pagi.

Katanya pemilik kenderaan tidak berada di lokasi dan kes masih dalam siasatan JBPM Sabah.

3 Comments