Tingkatkan pelajar mengambil mata pelajaran Pengajian Bible di Sekolah- Tangau
22:02 Feb 04, 2018  |  By SabahKini2
Tingkatkan pelajar mengambil mata pelajaran Pengajian Bible di Sekolah- Tangau

Meningkatkan pelajar mengambil

Saya sangat gembira dengan perkembangan ini, namun saya juga berharap akan ada lebih banyak lagi sekolah khususnya sekolah-sekolah mubaligh seperti ini yang akan turut menawarkannya kerana kita berhasrat untuk meningkatkan jumlah pelajar yang mengambil su

KOTA KINABALU: Kini telah ada lebih banyak sekolah mubaligh ataupun 'missionary school' yang menawarkan mata pelajaran Pengajian Bible kepada para pelajarnya. Namun begitu masih terdapat ruang yang cukup luas untuk usaha penambahbaikan.

Pemangku Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau baru-baru ini memuji beberapa buah sekolah yang merupakan antara sekolah yang menjadi perintis dalam menawarkan subjek itu kepada pelajar mereka seperti SM St John Tuaran, SM St Martin Tambunan, SM St Michael Penampang, SM Stella Maris, SM All Saints, SM St Peter Telipok dan lain-lain.

"Saya sangat gembira dengan perkembangan ini, namun saya juga berharap akan ada lebih banyak lagi sekolah khususnya sekolah-sekolah mubaligh seperti ini yang akan turut sama menawarkannya kerana kita berhasrat untuk meningkatkan jumlah pelajar yang mengambil subjek Pengajian Bible dalam peperiksaan SPM kepada lebih daripada 1,000 orang," sambungnya.

Menurut beliau lagi, kesedaran yang tinggi dalam kalangan ibubapa dan guru adalah amat penting bagi menggalakkan para pelajar agar mengambil subjek Pengajian Bible ini sebagai salah satu subjek dalam peperiksaan SPM.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyarankan kepada para pengetua sekolah supaya dapat bertindak dengan lebih inovatif lagi dalam merangka proses pembelajaran subjek tersebut dengan bermula seawal di tingkatan satu lagi, agar penguasaan para pelajar ke atas subjek itu dapat dipertingkatkan.

Sebelum itu, Tangau yang juga merupakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia itu telah menyampaikan buku teks Pengajian Bible kepada 18 buah sekolah di Pacific Sutera di sini, Jumaat lalu.

Beliau berkata langkah itu adalah salah satu inisiatif parti itu untuk menggalakkan lebih ramai pelajar mengambil subjek tersebut.

Tangau juga memberitahu bahawa jumlah pelajar yang masih terlalu sedikit itu sebenarnya banyak berpunca daripada pengajarannya yang dibuat dalam bahasa Inggeris.

Faktor penyumbang yang lain ialah subjek itu biasanya diajarkan selepas waktu persekolahan biasa, selain terdapat segelintir yang mendakwa pengajarannya agak membosankan.

"Kita akan terus berusaha untuk mengadakan sesi-sesi dialog bersama Kementerian Pendidikan berkenaan isu-isu ini. Pada saya, apa yang lebih penting di sini adalah galakan daripada ibu bapa itu sendiri" katanya lagi.

"Desakan kita supaya ia diajarkan di dalam waktu persekolahan biasa akan menjadi sia-sia sekiranya tiada pelajar yang mahu mempelajarinya," katanya.

Tangau berkata jumlah oelajar yang mengambil subjek tersebut pernah mencecah sehingga 1000 orang di seluruh negara pada tahun 2010, namun jumlah tersebut telah turun sejak tahun itu.

Menurut beliau lagi, terdapat banyak manfaat dalam mempelajari subjek ini terutamanya dari aspek penanaman nilai-nilai murni seperti yang disebut sebagai Etos Kristian kepada generasi muda agar diri mereka dilengkapi dengan nilai-nilai positif supaya dapat menjadi panduan yang membimbing kehidupan mereka dalam dunia siber yang cukup kompleks ini.

Pengajian Bible diperkenalkan sebagai mata pelajaran elektif di sekolah setelah UPKO memperjuangkannya tanpa mengenal erti putus asa, terutamanya melalui mantan presidennya yang kini merupakan Duta Besar Malaysia ke Vatican, Tan Sri Bernard Dompok berikutan perlaksanaan dasar baru yang mengurangkan bilangan subjek yang boleh diduduki dalam peperiksaan SPM, daripada maksimum 18 subjek sebelum ini, kepada hanya 10.

Dompok yang merupakan anggota kabinet Persekutuan ketika itu telah meminta supaya subjek Pengajian Bible diberikan status yang sama seperti mata pelajaran yang lain.

Pengajian Bible adalah sebuah subjek yang mengajarkan tentang kehidupan dan ajaran Yesus Kristus seperti yang diajarkan di dalam Injil Lukas serta asas pengajaran awal gereja seperti yang terdapat dalam 'Acts of Apostle'.

Menurut Tangau, sekolah-sekolah yang memerlukan bantuan dalam mendapatkan buku teks boleh berhubung dengan UPKO melalui Biro Keharmonian Kaum dan Agama parti itu.

Antara yang hadir ialah Pengerusi Bersama Biro Keharmonian Kaum dan Agama UPKO, Haji Suip Saniman dan Sualim Gopog, Pengerusi Jawatankuasa Interdenominasi Majlis Gereja-gereja Sabah, William Pan, bekas Pemeriksa subjek Pengajian Bible, Pastor Kenneth, pengetua-pengetua atau wakil-wakil dari 18 buah sekolah yang terlibat, serta Ahli-ahli Majlis Tertinggi UPKO.

Comment